Oleh: Sidiqin Omar
KUALA LUMPUR: KEADILAN mendesak tiga individu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan dua yang lain didakwa kerana melakukan jenayah pecah amanah terhadap penggunaan wang zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).
Selain Jamil Khir, dua lagi individu berkenaan ialah Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Che Mat Che Ali dan Ketua Pendakwa Syarie, Shamsuddin Hussain.
Satu laporan dibuat hari ini di Balai Polis Dang Wangi oleh Pengarah Komunikasi KEADILAN, Nik Nazmi Nik Ahmad bersama NGO Jingga 13 diketuai penyelarasnya, Fariz Musa.
Menurut Nik Nazmi, beliau kesal kerana sejak awal Jamil Khir menafikan penggunaan wang zakat berkenaan, sedangkan jawapan Timbalannya, Datuk Masyitah Ibrahim di parlimen dan laporan Ketua Audit Negara, mengesahkan dakwaan itu.
“Tujuan utama penggunaan wang zakat adalah untuk mempertahankan maruah agama Islam. Kita minta mereka disiasat di bawah Seksyen 405, 409 atau 415 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah jenayah oleh Penjawat awam,” kata Nik Nazmi.
Wang zakat berkenaan berjumlah RM63,650 sebelum ini didedahkan diguna oleh Jamil sebagai wang pendahuluan untuk membiayai kos guaman bagi berdepan kes qazaf yang difailkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Jumlah itu meliputi bayaran pertama sebanyak RM31,500 pada 9 Februari 2010 dan RM32,150 yang tercatat di dalam baucar bayaran yang didedahkan Nik Nazmi, semalam.
Menurut Nik Nazmi, hanya pada Disember 2012, wang tersebut digantikan melalui peruntukan dana kerajaan berjumlah RM700,000.
Dalam pada itu, Nik turut mempersoalkan pengurusan MAIWP menggunakan akaun sama bagi kutipan wang zakat dan saluran peruntukan daripada perbendaharaan kerajaan atas nama ‘Kumpulan Wang Zakat’
“Ini bukan semata-mata hal peruntukan, tetapi etika pengurusan. Perkara ini didedahkan oleh pegawai MAIWP sendiri kepada kami kerana prihatin terhadap salah laku tersebut,” ujar Nik.
Sementara itu, penyelaras Jingga 13, Fariz Musa menuntut polis tidak memilih bulu dalam hal siasatan.
“Jika bekas amil di Johor dihukum penjara empat tahun dan tiga sebatan atas kesalahan pecah amanah wang zakat berjumlah RM19,510, maka kes ini patut disiasat secara telus adil dan profesional.
“Hampir 11 bulan penggunaan wang zakat berlaku untuk menentang kes qazaf Anwar, suatu hak yang dibenarkan dalam undang-undang syariah.
“Adakah Jamil Khir ini salah satu dari asnaf yang lapan dan berhak menggunakan wang zakat atas jalan ‘fisabilillah’? ‘Fisabilillah’ apa dengan menentang kes qazaf?, soal Fariz.


0 ulasan:
Catat Ulasan