Beliau hairan dengan tindakan pihak tertentu yang begitu tergesa-gesa untuk memecat dan menggugurkan dirinya.
PETALING JAYA: Bekas Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali mendakwa wujud pihak tertentu yang tidak sabar untuk menggantikan jawatannya sebagai Exco Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrasturktur dan Kemudahan Awam Selangor berikutan penggugurannya dilakukan secara tergesa-gesa.
Hasan berkata, beliau sepatutnya masih memegang jawatan itu sehingga minggu pertama Februari depan iaitu tamat tempoh permohonan cuti yang turut diluluskan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, dan selaras dengan ‘tempoh bertenang’ sebagai ahli PAS.
Katanya, beliau hairan dengan tindakan pihak tertentu yang begitu tergesa-gesa untuk memecat dan menggugurkan dirinya.
“Tindakan tergesa-gesa ini seolah-olah menampakkan ada pihak yang begitu tidak sabar-sabar untuk mengeluarkan dan menggantikan tempat saya.
“Walhal dari segi pengguguran ahli Exco saya sepatutnya masih ada tiga minggu lagi tempoh bertenang untuk membuat keputusan yang terbaik,” katanya dalam sidang media di kediamannya di sini pagi tadi.
Percanggahan tarikh
Beliau turut menerima surat dari Istana memaklumkan tentang penggugurannya sebagai ahli Exco berkuatkuasa hari ini dan mendakwa tarikh itu sebenarnya bercanggah dengan kuat kuasa keahliannya sebagai ahli PAS yang sepatutnya tamat pada hari akhir tempoh rayuan.
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Jumaat lalu memperkenankan pengguguran Hasan Ali daripada jawatan Exco, dan dijangka akan memperkenankan pelantikan Exco baru Rabu ini di Istana Kayangan.
“Mungkin Menteri Besar terlepas pandang menasihatkan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan mengenai perkara ini,” katanya.
Walau bagaimanapun Hasan berkata dirinya tetap optimis dengan pengguguran itu, malah telah pun bersedia dari segi fizikal dan mental untuk menghadapinya.
Baginya, ini adalah lumrah sesuatu perjuangan dan tidak sedikit pun mengganggu hasratnya untuk memperjuangkan Islam.
“Kepada rakan Exco yang lama dan baru saya ingin berpesan supaya berhati-hati memegang amanah mentadbir Selangor.
“Dalam pembangunan yang begitu pesat jangan sesekali ketepikan martabat Islam, bangsa, institusi Raja, dan Perlembagaan.
“Menyisihkannya bererti saudara sekelian sudah mengkhianati kuasa dan tanggungjawab yang diamanahkan,” katanya.


0 ulasan:
Catat Ulasan