Isnin, 2 Januari 2012

Insiden UPSI semarak gerakan jatuh Umno BN

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: PAS hari ini berkata insiden yang berlaku di hadapan Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) pagi semalam akan menyemarakkan lagi kemarahan rakyat terhadap Umno/BN dan gerakan Asal Bukan Umno, menjelang pilihanraya umum (PRU) akan datang.

Dalam kenyataan kepada Harakahdaily, Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata kekerasan yang ditunjukkan oleh polis ternyata di luar batas susila anggota perkhidmatan awam.

“Mereka hanya sekumpulan pelajar yang ingin suara mereka didengar, mengapa harus bertindak keras sedemikian sehingga ada yang tercedera,” soal Tuan Ibrahim.

Insiden malam semalam menyaksikan Timbalan Presiden Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik Muhammad Safwan Anang patah tulang rusuk, seorang lagi cedera di kepala manakala 20 mahasiswa ditahan.

Kata Tuan Ibrahim, insiden tersebut membuktikan kenyataan Perdana Menteri untuk melakukan tranformasi dalam pentadbiran nyata hanya untuk pendengaran rakyat sahaja.

“Kerana hampir jelas tiada niat bahawa apa yang dilaungkan Perdana Menteri direalisasikan akan berubah kepada tindakan,” kata Tuan Ibrahim, yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

Tuan Ibrahim berkata PAS turut melahirkan rasa kecewa kepada tindakan double standard pihak polis dan FRU dalam tindakan mereka menangani himpunan aman.

Sedangkan di waktu yang sama pelbagai himpunan dianjurkan NGO (Umno) di Selangor dan Pulau Pinang berjalan tanpa sebarang tindakan.

“PAS mendesak satu siasatan rapi dibuat terhadap insiden ini, dan tindakan pengurusan dan perundangan mesti diambil. Pihak Suhakam dan pelbagai badan NGO lain dituntut mengecam tindakan melampau ini,” tambah Tuan Ibrahim (gambar).

Sementara itu, Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar berkata insiden tersebut jelas memberikan mesej kepada rakyat Malaysia bahawa “kerakusan kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) menggunakan polis untuk mengekang hak dan kebebasan bersuara yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia.”

Tegas Nurul, yang juga ahli parlimen Lembah Pantai, demonstrasi dianjurkan mahasiswa itu bukan satu kesalahan sehingga polis perlu bertindak kasar kepada mereka.

Tindakan polis tersebut katanya, juga bertentangan dengan Akta Perhimpunan Aman yang diumumkan oleh perdana menteri dan seterusnya diluluskan oleh Parlimen Malaysia baru-baru ini.

Ketika dihubungi Harakahdaily, Tuan Ibrahim menyoal samada tindakan yang dilakukan polis dan FRU adalah untuk menutup kemarahan Umno dan BN kerana gagal menghalang himpunan pertama yang berjaya menurunkan gambar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tempoh hari.

“Polis dan FRU dinasihatkan tidak perlu menjadi pelindung kepada penyelewengan dan kekejaman akta zalim Umno BN. Mahasiswa yang bangkit menentang akta zalim ini sepatutnya disokong oleh semua.

"Tindakan kejam dan melampau batas ini akan pasti dibalas oleh Allah di akhirat nanti. Ingatlah sabda Rasulullah " kezaliman adalah kegelapan di akhirat,” tambah beliau.

0 ulasan: