KEADILAN DAILY
KUALA LUMPUR: Di sebalik konspirasi politik dan fitnah jijik yang mungkin memenjarakannya untuk kali kedua, Datuk Seri Anwar Ibrahim tetap terus mengajak rakyat untuk membina Malaysia yang baru.
“Saya akan tetap bersama anda semua di hati dan jiwa saya dan bersama-samalah kita bina sebuah negara Malaysia yang baharu.
“Saya menyeru seluruh rakyat Malaysia agar membulatkan tekad serta iltizam dalam menuntut pembaharuan politik,” katanya pada kenyataan media di blognya, tengah malam ini.
Ketua Pembangkang itu mengajak rakyat menuntut perubahan bagi menegakkan hukum, melaksanakan sistem ekonomi saksama dan memupuk persaudaraan tulen.
“Walau apa pun jua penghakiman yang akan diputuskan nanti, ia harus tetap melonjakkan semangat dan keyakinan menuntut perubahan,” katanya.
Anwar mahu usaha digembeling demi membanteras kezaliman, rasuah dan penyalahgunaan kuasa dan menghumban penguasa angkuh dari tampuk pemerintahan pada Pilihan Raya Umum ke-13.
“Mereka mungkin berhasrat memenjara dan merantai saya tetapi mereka takkan sesekali dapat memasung jiwa dan semangat saya,” katanya yang berikrar tidak berhenti berjuang selagi belum berjaya menghapus kebejatan kerajaan Umno BN.
“Mereka boleh aibkan saya. Mereka boleh humban saya ke penjara. Mereka boleh injak hak rakyat. Mereka boleh pukul kita hanya kerana berkumpul tetapi mereka takkan dapat rampas kehormatan diri, maruah dan semangat kita,” katanya.
Anwar mahu membangunkan sebuah bangsa yang adil lagi saksama dengan berbekal semangat perjuangan murni serta bertawakal dan percaya perjuangan pasti mencapai kejayaan.
Beliau yakin pelbagai fitnah dan tohmahan yang dilempar tidak menghakis keyakinan rakyat sekalipun Umno mengulangi fitnah keji sejak 1998 dan membuat sandiwara perbicaraan.
“Kita telah menyaksikan betapa polis, pendakwa dan kehakiman serta media yang dikawal Umno berganding bahu memastikan kerajaan BN yang rasuah dan zalim, terus berkuasa,” katanya.
Keputusan perbicaraan kes Fitnah II akan diketahui hari ini (9 Januari) sekali gus menjadi detik penentuan keadilan ditegakkan ataupun hari gelap buat kedaulatan undang-undang.
Sepanjang perbicaraan, pasukan peguam bela dinafi hak seperti tidak diberi salinan laporan polis manakala pasukan pendakwa membawa kes rapuh apabila saksi mereka termasuk beberapa doktor berbohong, sampel bukti tercemar dan pelbagai hal meragukan.
Keengganan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hadir ke mahkamah walaupun pengadu, Saiful Bukhari Azlan ada menemuinya sebelum laporan polis dibuat, menunjukkan wujud konspirasi politik dalam kes ini.

0 ulasan:
Catat Ulasan