IJOK: Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor telah berjaya menunjukkan keupayaan dan membawa perubahan besar kepada Selangor sejak gagasan itu menerajuinya pada Mac 2008 yang berupaya meningkatkan simpanan negeri.
Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata Selangor menguruskan kewangan dengan baik serta mengelakkan peningkatan hutang demi memastikan kebajikan rakyat terpelihara di masa hadapan.
"Ini sangat penting, sebab kita mengutip duit dan kita pulangkan kembali kepada rakyat, dan mana-mana kerajaan yang berhutang dan kemudian bagi pemberian kepada rakyat, maka rakyat perlu ambil duit tersebut sebab bukan sahaja rakyat dapat duit tetapi tahun-tahun yang akan datang rakyat kena bayar hutang tersebut.
"Sebab itu negeri Selangor tidak mahu berhutang, mahu kumpul duit dan simpan dan pulangkan kepada rakyat," kata Abdul Khalid semasa majlis penyampaian sumbangan kepada fakir dan miskin di kawasan Ijok.
Dalam program itu juga, Abdul Khalid menyampaikan sumbangan kepada 121 fakir dan miskin di DUN Ijok sempena Tahun Baharu Cina yang turut dihadiri Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr Dzulkefly Ahmad anjuran Kelab Kebajikan Ijok di sini.
"Ini menunjukkan Pakatan Rakyat membawa perubahan itu baik, maka ia akan diikuti oleh kerajaan persekutuan," kata Abdul Khalid.
Abdul Khalid juga berkata, badan-badan kebajikan perlu membuat pelan rancangan mereka sendiri kerana kerajaan Selangor melalui geran Selangorku ada menyediakan dana peruntukan untuk disalurkan kepada badan-badan kebajikan.
"Jadi oleh sebab itu pengerusi-pengerusi jawatankuasa kebajikan kampung-kampung baru dan kampung komuniti mestilah merancang dan menunjukkan apakah yang boleh dilakukan program itu supaya dapat memberi manfaat kepada masyarakat," katanya.
Beliau juga berkata satu sesi dialog akan diadakan di DUN Ijok bagi memberi penjelasan dan maklum balas terhadap pelan pembangunan daerah Kuala Selangor dalam tempoh 10 tahun akan datang.
"Rakyat di Ijok akan mendapat kebaikan daripada pembangunan tersebut, lagi rakyat Ijok akan dapat mengetahui berkenaan perkara ini dan ia merupakan perkara yang baik.
"Tidak lama lagi, saya akan bawa Yang Dipertua Kuala Selangor untuk menunjukkan apa yang akan berlaku dengan beribu-ribu ekar tanah yang akan dibuka untuk industri dan juga kawasan perumahan yang akan menelan belanja beratus-ratus juta ringgit," katanya.

0 ulasan:
Catat Ulasan