Khamis, 12 Januari 2012

Kes Liwat II - SAMM dakwa Platform Kerajaan Eksploitasi.

Syukri Hamzah

alt

KUALA LUMPUR. - Pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Badrul Hisham Shaharin percaya keputusan kes liwat ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang diumumkan Isnin lalu akan digunakan oleh kerajaan untuk menunjukkan kononnya transformasi kerajaan berjaya.

Badrul yang lebih dikenali sebagai Chegubard berkata, kerajaan melalui agen propaganda mereka akan mengeksploitasi keputusan kes tersebut bagi menarik sokongan kerajaan menjelang pilihanraya umum yang akan datang.

“Percayalah keputusan kes ini akan digunakan oleh regim, melalui agen propaganda mereka untuk menunjukkan kononya sebagai lambang kejayaan transformasi Najib. Maka rakyat cuba akan diperdaya untuk bersama menyokong Najib dalam PRU yang amat dekat,” kata Chegubard.

“Rakyat perlu sedar keputusan kes tersebut bukan lambang transformasi Najib tetapi satu keputusan terpaksa dan kemenangan rakyat. Jika benar Najib jujur dia harus tampil memperjelaskan peranan dia dalam kosnpirasi ini atau dia harus mengambil tanggungjawab meletakkan jawatan dengan bermaruah. Rakyat tidak boleh menerima PM yang tampil menipu, bercakap dengan fakta bercanggah beberapa kali demi melindungi pertemuan sulitnya dengan Saiful,” tambah beliau.

Menurut Chegubard, kes terhadap Anwar ini secara jelas merupakan satu konspirasi dengan bagaimana dari awal lagi hampir semua jentera kerajaan telah dipergunakan sepenuhnya dan media terus memutar belit dan memanipulasi setiap fakta kes bagi mempengaruhi orang ramai untuk melihat Anwar secara negatif.

Beliau turut menegaskan yang rakyat tidak harus lupa bagaimana kes tersebut bermula dengan 24 Jun 2008 berlaku pertemuan 'sulit' di antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dengan bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan yang tidak pernah dinafikan.

“Pertemuan ini tidak dinafikan. Hanya apabila kedengaran kali pertama Najib berbohong dengan mengatakan tidak pernah kenal Saiful. Apabila dikeluarkan gambar Saiful di pejabat Najib maka dia cuba menyelamatkan pembohongannya dengan berbohong menyatakan ya memang Saiful berada di pejabatnya kerana urusan mohon biasiswa. Selepas ada pihak yang mengeluarkan bukti bagaimana seorang pelajar yang dibuang kolej kerana gagal peperiksaan boleh diberikan keistimewaan bertemu Perdana menteri untuk urusan biasiswa maka Najib terpaksa mengakui yang ya benar dia dan Rosmah ada berjumpa Saiful konon kerana Saiful mengadu mengalami sakit perut.

“Rakyat juga tidak boleh lupa bagaimana 25 Jun 2008, Saiful berjumpa dengan Ketua Polis Melaka, Rodwan Yusof di sebuah hotel secara sulit di Lembah Kelang. Kes ini merupakan kes di Kuala Lumpur, adakah semua polis Kuala Lumpur bodoh dan tidak berkebolehan sehingga terpaksa Ketua Polis Melaka jumpa Saiful secara sulit untuk menyelesaikan kes,” kata Chegubard.

Menurutnya, pertemuan dengan Rodwan lebih kontroversi memandangkan rekod peranan Rodwan dalam kes liwat pertama pada 1998 di mana rekod mahkamah secara jelas menulis pengakuan Dr. Zahari bahawa beliau dipaksa memalsukan bukti DNA atas tilam kerana dipaksa oleh Pegawai Penyiasat, Musa Hassan (yang selepas itu menjadi Ketua Polis Negara) dan pembantunya Rodwan (yang kemudian menjadi Ketua Polis Melaka).

“Hanya selepas bertemu dengan Najib, Rosmah dan Rodwan (24 dan 25 Jun 2008) barulah Saiful kononnya diliwat oleh Anwar pada 26 Jun 2008, ini sudah tentu fakta yang menarik perhatian. Itu belum mengambil kira sehari sebelum pergi ke Hospital, Saiful terlebih dahulu berjumpa dengan seorang yang kini senator kerana jasanya menyerang Anwar kemudian barulah esoknya ke hospital seperti semuanya dirancang.

“Rakyat juga seharusnya tidak melupakan bagaimana peranan peguam negara dalam menafikan banyak proses dan cuba mengukuhkan kes yang penuh keraguan. Kes ini juga ada banyak persamaan dengan kes fitnah yang pertama cuma kali ini kesedaran rakyat berada ditahap tinggi,” tambah beliau.

Beliau turut membayangkan yang keputusan kes mungkin berlainan sekiranya Anwar gagal mengumpul sokongan rakyat dengan mengenengahkan fakta kepincangan kes tersebut.

Beliau turut menambah yang rakyat juga ingin melihat Peguam Negara ditukar dan mendapatkan Peguam Negara yang lebih berkualiti.

“Sesungguhnya pihak yang bertanggungjawab terhadap konspirasi ini harus dipertanggungjawabkan ke atas pelbagai kerugian dalam dan luar negara kerana konspirasi pihak yang berkepentingan,” katanya.

0 ulasan: