Rabu, 4 Januari 2012

Kontrak Lounge Suit : Penulis Blog Pertahan Dakwaan

ANTARA POS.COM

Post Pic



IPOH : Biarpun berdepan saman fitnah RM10 juta, penulis blog Sekupangduas tetap mempertahankan dakwaannya berhubung salah laku Nga Kor Ming dalam pemberian tender sut ahli Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) pada 2008.

Penulis blog tersebut, Ahmad Sofian Yahya, 47, menegaskan beliau tidak akan memohon maaf atau menarik balik kenyataan yang telah dibuatnya terhadap Setiausaha DAP Perak berkenaan.

Sebaliknya penulis blog itu mendesak Kor Ming menarik balik tuduhan bahawa beliau telah mengada-adakan bahan bukti dalam sebuah artikel yang disiarkan oleh portal berita propembangkang pada 19 Disember lalu.

"Saya beri masa selama 48 jam untuk beliau memohon maaf dan menarik balik kenyataannya itu atau saya juga akan menyamannya jutaan ringgit," katanya dipetik Utusan Malaysia.

Ahmad Sofian dalam blognya di http://www.sekupangduas.blogspot.com pada 16 Disember lalu telah memuat naik beberapa salinan dokumen yang mendedahkan Ethan and Elton, syarikat yang mana isteri Kor Ming, Wong Seow Ching sebagai salah seorang pengarahnya, memenangi kontrak tersebut walaupun menawarkan harga lebih tinggi berbanding pembida lain.

Blog itu juga mendakwa, kontrak untuk 24 sut rasmi yang pada asalnya ditawarkan kepada Goodman Tailor pada 3 April 2008 kemudiannya diberikan kepada Ethan and Elton selepas 'disyorkan' oleh kerajaan negeri pada ketika itu.

Pada sidang akhbar tersebut, Ahmad Sofian mempertahankan dakwaannya bahawa tender itu diberikan kepada Ethan and Elton yang ditubuhkan 20 hari selepas kontrak berkenaan diberikan kepada sebuah firma lain.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Sofian mengakui sudah menerima surat saman daripada Kor Ming yang dihantar ke rumahnya pada Sabtu lalu menerusi firma guaman Tetuan Leong and Tan.

Menurut Ahmad Sofian, beliau belum melantik peguam dan akan meminta khidmat nasihat Biro Bantuan Guaman bagi meneliti kes tersebut.

1 ulasan:

sekupangdua berkata...

Salam, tak terfikir utk kemakamah sblm nie, tapi disbb utk rakyat Wajib tahu penyelewengan sbgai HAK kebenaran, adakah rakyat boleh diugut Dgn saman, adakah disbb kan sbgai lawyer rakyat mesti tutup mulut Dan akur... Jadi nak bagitau pada yg seronok menyamun Dan perbodohkan rakyat... Insyallah rakyat tetap menentang penyelewengan Dan korupsi kerana kuasa ditangan rakyat yg mau kan negara Aman Dan bersih, tq for the post n support!