Sabtu, 14 Januari 2012

Lanskap politik bakal berubah

Apa yang dapat disimpulkan ialah satu minit penghakiman merupakan satu keputusan yang dibuat pada saat-saat akhir.



Hakim Dato’ Mohamad Zabidin Mohd Diah berjalan masuk ke bilik mahkamah, membaca penghakiman dalam seminit dan kemudian menghilangkan diri ke kamarnya.

Orang awam di bilik mahkamah nampak tercegat dan setelah sedar dan faham maksudnya, mereka bersorak kegembiraan, ada yang menitiskan air mata, sambil berpelukan, menepuk bahu dan dihujani dengan ucapan terima kasih dan tahniah.

Dalam tempoh beberapa saat sahaja, disambut kegirangan di luar mahkamah oleh beribu-ribu penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berkumpul di luar bangunan mahkamah.

Malah perasaan lega dan gembira berkumandang di seluruh pelusuk negara, tanpa mengenal batas agama dan kaum.

Begitulah sebuah drama mengenai pembebasan Anwar dari tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan yang tidak dijangka, berlaku di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 Januari lalu.

Kesannya tersebar ke seluruh pelusuk dunia dengan saluran televisyen antarabangsa seperti Aljazeera dan BBC sanggup menghentikan siarannya buat seketika untuk mengumumkan berita itu.

Berita ini juga membuat golongan pro demokrasi dan hak asasi manusia serta mereka yang bersimpati dengan Anwar merasa lega dan puas setelah sekian lama menunggu keputusan penghakiman kes sodomi ini.

Tidak dapat dinafikan mereka terperanjat kerana keputusan untuk melepas dan membebaskan Anwar adalah sesuatu yang tidak dijangka.

Ini berikutan perbicaraan yang berlangsung dengan penuh mehnah dan tribulasi serta ketidakadilan sejak mula sehingga semua orang beranggapan bahawa wujud penganiayaan terhadap Anwar.

Namun ramai juga yang menantikan keputusan bahawa Anwar bersalah dan akan dihumban ke dalam penjara pada hari itu. Tetapi cuba bayangkan bagaimana kegembiraan dapat digambarkan apabila perbicaraan yang memakan masa dua tahun berakhir sedemikian rupa.

Lumrah manusia

Adalah menjadi lumrah manusia apabila seseorang berkemungkinan akan kehilangan orang yang dikasihinya menyedari betapa dia sebenarnya meyayangi orang itu.

Begitu juga dengan Anwar Ibrahim. Kegelisahan di kalangan rakyat (kerana mengharapkan yang terburuk) sehingga hari penghakiman dan wajah-wajah yang melontarkan senyuman kelihatan di mana-mana apabila mendapat tahu Anwar dibebaskan.

Pastinya, ia kekal sebagai satu peristiwa penting dalam lipatan sejarah memandangkan negara ini sangat-sangat memerlukan kepemimpinannya.

Perjuangan Anwar yang kental untuk menjatuhkan regim yang korup di negara ini, sebenarnya dihargai oleh rakyat walaupun beliau dianiaya. Regim zalim ini sering menyalahguna media untuk memastikan survival politik mereka dan Anwar pula dinafikan ruang bebas untuk bersuara dalam media arus perdana.

Seluruh episod yang berlangsung lebih dua tahun ini mempunyai kesan yang mendalam. Malahan, peristiwa ini akan mentransformasi
lanskap politik dan mempengaruhi imbangan kuasa di antara Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional.

Anwar yang didapati tidak bersalah dan bebas dari kemungkinan dipenjara telah mendatangkan kesan-kesan berikut:

  • Pembebasan Anwar menyelamatkan Pakatan dari menghadapi krisis kepimpinan.
  • Pembebasan Anwar kembali menyuntik semangat dan mengukuhkan kedudukannya sebagai pemimpin pembangkang yang sukar dipertikaikan.
  • Keputusan mahkamah ini juga telah memulih dan meningkatkan imej beliau sebagai bakal perdana menteri yang akan memimpin Pakatan dalam menangani masalah ekonomi, serta menghapuskan ketegangan kaum dan agama, yang sengaja ditimbulkan BN.
  • Selepas terlepas dari mala petaka dan dengan suntikan semangat baru Anwar akan memperbaharui tenaga gabungan Pakatan dan merapatkan hubungan sesama komponen parti dengan lebih rapat supaya muncul sebagai sebuah gabungan yang mantap.
  • Satu tamparan kepada BN, bukan sahaja kerana mencipta plot politik selama tiga tahun setengah dan kini menjadi sia-sia tetapi juga mencemar kredibiliti dan imej BN.
  • Keputusan ini juga berjaya mematah semangat BN dan meningkatkan risiko parti-parti komponen meninggalkan BN.
  • Walaupun apa pun sebabnya; sama ada disaat-saat akhir keputusan diubah oleh hakim atau oleh tuan-tuan politik bagi mengelak lebih banyak kehilangan undi pada pilihan raya nanti; keputusan mahkamah ini memburukkan lagi konflik di antara golongan yang keras kepala dengan golongan yang mahu reformasi dalam Umno sendiri.

Jenama global

Poin yang terakhir, ia berpotensi untuk memecahbelah perpaduan dalam Umno, sebuah parti yang amat korup, yang ketandusan idealisme dan menjadi “politik wang” sebagai satu jenama global.

Namun, adalah dipercayai keputusan mahkamah itu berubah pada saat-saat akhir berikutan peristiwa-peristiwa ini:

Pertama, lebih seminggu sebelum hari penentu (9 Januari), blogger Raja Petra Kamarudin (RPK), bekas pengikut setia Anwar, melancarkan serangan terhadap Anwar, melabelkan beliau sebagai peliwat, dan Anwar bersalah seperti didakwa.

Serangan tersebut, yang mendapat liputan meluas di dada-dada akhbar pro Umno dan saluran-saluran TV disifatkan sebagai isyarat bahawa Umno sedang berusaha untuk menghukum Anwar.

Serangan RPK merupakan serangan taktikal sebagai persiapan menghadapi kesan buruk dari hukuman terhadap Anwar.

Kedua, beberapa hari sebelum perhimpunan 9 Januari, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengambil sikap yang lembut terhadap cadangan perhimpunan Bebaskan Anwar 901.

Beliau mencadangkan agar pihak penganjur (PKR) mendapatkan kebenaran daripada pihak polis, yang sebelum itu berikrar untuk bertindak keras bagi menghalang perhimpunan itu.

Tanpa diduga, pihak polis memberi kebenaran untuk perhimpunan berikutan pertemuan pertama dengan anggota-anggota PKR walaupun pada mulanya polis beriya-iya benar menentang perhimpunan itu.

Sekali imbas, itu merupakan tanda-tanda awal bahawa keputusan untuk menghukum Anwar ditarik balik disaat-saat akhir kerana pihak polis tidak perlu lagi bertembung dengan para penyokong Anwar apabila Anwar bersedia untuk dibebaskan.

Umno khuatir

Ketiga, agak pelik apabila hakim mengambil masa hanya seminit untuk membuat penghakiman ketika mana beliau mengambil masa sejam lima puluh minit untuk membaca hujah pada peringkat interim bagi mewajarkan terdapatnya prima facie terhadap kes ini.

Apa yang dapat disimpulkan ialah satu minit penghakiman merupakan satu keputusan yang dibuat pada saat-saat akhir.

Ataupun hakim tersebut membuat penghakiman yang jujur tetapi dengan mengguna pakai skrip ringkas yang disediakan oleh beliau sendiri. Ini kerana beliau mungkin tidak dapat memberi keputusan yang tepat kerana risau akan timbul kemarahan terhadapnya dan para hakim lain yang akan menggantikannya kelak.

Namun begitu, kumpulan radikal dalam Umno nampaknya merasa khuatir dengan pembebasan Anwar seperti yang dapat kita baca dari air muka Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kedua-duanya mendakwa bahawa pihak Eksekutif tidak pernah campur tangan dalam urusan kehakiman. Dakwaan yang tidak berasas ini hanya mengesahkan bahawa mereka ini masih hidup dalam zaman lampau, tersasar dari kehidupan era Internet.

Mereka ini sudah menjadi bahan sejarah dan tidak layak memerintah Malaysia!

0 ulasan: