Lebih 50,000 rakyat di seluruh Kedah hadir pada Rapat Rakyat Perdana di Alor Setar malam tadi.
ALOR SETAR: “Macam duduk di Padang Arafah,” begitulah reaksi Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika hendak memulakan ucapannya pada Rapat Rakyat Perdana diadakan di Stadium Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, di sini, malam tadi.
Beliau berkata demikian sebagai reaksi spontan beliau apabila melihat lebih 50,000 rakyat di seluruh Kedah hadir pada majlis itu, lapor harakahdaily.
Kehadiran orang ramai dari pelbagai lapisan masyarakat itu menjadikan padang bola Stadium Sultan Abdul Halim penuh sesak sehingga melimpahi ke luar stadium.
Keadaan itu menjadikan suasana di padang stadium itu dipenuhi pandangan kopiah yang memutih yang cukup memukau pandangan jika dilihat dari atas tempat duduk di stadium itu.
Dalam ucapannya, beliau yang juga Menteri Besar Kelantan antara lain mengingatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi perintah Allah sepanjang hidup di dunia ini.
Sebelum itu, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ketika berucap antara lain meminta orang ramai mengekalkan sokongan kepada PAS bagi membolehkan Kerajaan Pakatan Rakyat terus memerintah di negeri itu pada PRU Ke-13 akan datang.
Program yang dipengerusikan oleh Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar itu turut menampilkan beberapa penceramah lain dari PAS dan Pakatan Rakyat, dengan dimulai Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak.
Turut hadir dan menyampaikan ucapan termasuk Ketua Pembangkang yang juga Ketua Umum PKR , Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden dan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Azmin Ali.
Manakala dari DAP, Pengerusi dan Timbalan pengerusi parti itu, Karpal Singh dan Tan Seng Giaw yang juga Ahli Parlimen Kepong.
Ceramah pada malam tadi adalah kemuncak kepada Konvensyen Pakatan Rakyat Ke-3 yang diadakan di stadium tersebut bermula jam 8.00 pagi semalam.
Terdahulu dalam blognya semalam bersempena dengan konvensyen itu, Nik Aziz menegaskan bahawa perpaduan melalui Pakatan telah membuka ruang bagi PAS menyampaikan kebaikan Islam kepada pemimpin dan ahli parti Pakatan yang bukan Islam.
Malah katanya, Umno dilihat jelas mengkhianati perjuangan Islam apabila tidak berubah-ubah tindakan memfitnah PAS, misalnya menuduh PAS menjadi tunggangan DAP dan membuang matlamat negara Islam.
“Atas sebab tersebut, Umno tidak layak menjadi rakan PAS dan jauh sama sekali untuk dijemput menjadi rakan dalam Pakatan,” ujar beliau.


0 ulasan:
Catat Ulasan