Menurut MB Selangor, bekas Exco itu merasakan beliau masih mempunyai ruang dan masa untuk membuat rayuan.
SHAH ALAM: Ahli Dewan Negeri (Adun) Gombak Setia, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali berpendapat pelantikan Exco kerajaan negeri yang baru terlalu awal memandangkan beliau mempunyai ruang dan masa untuk merayu kepada Majlis Syura PAS.
Perkara itu dimaklumkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam sidang media selepas majlis angkat sumpah dan pelantikan Exco kerajaan negeri yang baru di Istana Kayangan pagi ini.
Abdul Khalid berkata, Hasan Ali telah menulis surat pada 10 Januari lalu namun beliau menjelaskan tindakan mengugurkannya adalah lanjutan daripada keputusan Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat.
Ujar beliau, surat dari Jawatankuasa PAS Pusat bertarikh 10 Januari itu mengesahkan keputusan pemecatan Hasan Ali berkuatkuasa serta merta dan isu rayuan tidak dinyatakan dalam surat berkenaan.
“Saya telah menjawab surat beliau (Hasan Ali) dengan menyatakan keputusan saya mengugurkan beliau adalah lanjutan dari keputusan Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat pada 8 Januari yang melucutkannya sebagai ahli PAS.
“Surat dari Jawatankuasa PAS bertarikh 10 Januari mengesahkan keputusan pemecatan serta merta dan isu rayuan juga tidak dinyatakan dalam surat berkenaan.
“Proses rayuan amalan yang dipraktikkan oleh PAS dan saya percaya ia tidak bermaksud memberi sebarang prasangka kepada kelangsungan pentadbiran kerajaan negeri.
“Saya berharap beliau menerima keputusan ini dengan berlapang dada dan mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih di atas peranan yang beliau laksanakan ketika berkhidmat,” kata Abdul Khalid.
Pada Jumaat lalu, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan untuk menggugurkan Hasan Ali daripada jawatan Exco kerajaan negeri selepas mengadakan pertemuan dengan Abdul Khalid.
Baginda bersetuju menggugurkan Hasan Ali kerana beliau tidak lagi mewakili PAS dalam kerajaan negeri.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai pemilihan Dr Ahmad Yunus Hairi berbanding Dr Abdul Rani Osman yang dianggap calon disebut- sebut sebagai Exco negeri baru, Abdul Khalid berkata keputusan itu mengambil kira pandangan semua pihak.
“Kita bincang dengan kepimpinan dan merasakan keputusan ini memberi faedah kepada kerajaan negeri. Kita diberi tanggungjawab untuk tentukan.
“Malah lantikan Dr Ahmad Yunus ini mendapat restu dari kepimpinan dan Dr Rani…..saya sendiri telah bercakap dengan (Presiden PAS) Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengenai hal ini,” jelas beliau.
Adun Sijangkang Dr Ahmad Yunus Hairi hari ini dilantik sebagai Exco baru dengan memegang portfolio Adat Resam Melayu, Belia dan Sukan berkuatkuasa hari ini.


0 ulasan:
Catat Ulasan