Sabtu, 14 Januari 2012

Niat tidak baik dalam urusniaga NFC

Notis pemberitahuan mesyuarat hanya diberi dalam tempoh masa tiga hari sahaja menimbulkan banyak keraguan.



PETALING JAYA: Pengarah Strategi PKR Mohd Rafizi Ramli mendakwa terdapat niat tidak baik berhubung cadangan Perbadanan Fidlot Nasional (NFC) untuk mengambilalih anak syarikat, National Meat and Livestock Corporation (NMLC).

Beliau berkata tindakan NFC secara tergesa-gesa mengeluarkan notis pemberitahuan mesyuarat Lembaga Pengarah dan Mesyuarat Agung Luarbiasa (EGM) hanya dalam tempoh masa tiga hari sahaja menimbulkan banyak keraguan.

NFC dan NMLC adalah syarikat-syarikat milik keluarga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, yang juga ketua wanita Umno Malaysia.

Bercakap kepada para pemberita dalam satu sidang media di ibu pejabat PKR di sini hari ini, Rafizi berkata, mesyuarat itu berkemungkinan akan diadakan pada hari Jumaat ini.

Beliau yakin tindakan secara tergesa-gesa ini mempunyai niat yang tidak baik dan akan menganggu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap NFC yang sedang berjalan.

“Jika mesyuarat itu diteruskan maka keputusan yang diambil akan merugikan rakyat melalui pelbagai urusniaga yang melibatkan NFC dan NMLC.

Untuk menghindari dari perkara ini terjadi maka beliau mendesak agar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan segera campurtangan dengan membekukan sebarang aktiviti dan keputusan mesyuarat tersebut.

Memandangkan terdapat percubaan NFC untuk menjalankan urusniaga yang mencurigakan maka saya cadangan kerajaan melantik pentadbir korporat sementara yang bebas bagi mengambil alih pentadbiran NFC sementara menunggu siasatan selesai.

“Tindakan ini bertepatan dengan amalan tatakelola yang baik untuk mengelakkan lebih banyak penyelewengan berlaku,” katanya. Rafizi melahirkan rasa kecewa dengan sikap Najib yang cuba mencuci tangan dalam skandal ini yang melibatkan penyelewengan dana awam walaupun beliau sendiri yang menganugerahkan projek ini kepada NFC.

‘Siasat Salleh Ismail’

Dalam perkembangan berkaitan, Rafizi turut mendedahkan satu transkrip email yang diterima beliau pada Sabtu lalu, didakwa mengandungi kenyataan umum Ahli Lembaga Penasihat SPRM, Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas berhubung wujudnya tindakan merasuah pegawai penyiasat SPRM dalam skandal NFC.

Beliau mendakwa kenyataan umum yang diterima melalui ‘email group’ itu menguatkan lagi desakan beliau sebelum ini bahawa Pengerusi Eksekutif NFC Datuk Dr Mohd Salleh Ismail, yang juga suami Shahrizat menggunakan orang tengah untuk merasuah pegawai penyiasat SPRM.

Sebelum ini PKR menggesa SPRM untuk menyiasat Salleh dan ahli pengurusan NFC yang berkemungkinan cuba menggunakan orang tengah untuk merasuah penyiasat dalam skandal tersebut.

“PKR mendedahkan gesaaan untuk menyiasat Salleh setelah mengambil kira kenyataan umum Megat Najmuddin yang merupakan tokoh yang dihormati dan memegang pelbagai jawatan dalam sektor awam dan swasta.

“Kenyataan peribadi Megat Najmuddin perlu diberi perhatian serius oleh SPRM. Ini kerana beliau juga menyatakan pendapatnya bahawa ada unsur rasuah dan pembabitan Salleh dalam cubaan merasuah polis, kata Rafizi.

Menurut Rafizi, pihaknya akan membuat laporan di pejabat SPRM Shah Alam jam 3.30 petang ini berhubung hal tersebut.

Ketua Audit Negara dalam laporannya bagi tahun 2010 menyifatkan projek NFC yang menerima kemudahan pinjaman mudah dari kerajaan bernilai RM250 juta berada dalam keadaan kacau bilau.

0 ulasan: