
KOTA BHARU - Apek atau nama sebenar Khairul Fahmi Che Mat suatu ketika dahulu dilanda pelbagai gosip dan cerita panas dinasihati supaya kahwin awal bagi mengawal kehidupan beliau yang agak sosial.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, Islam amat menggalakkan golongan muda yang berkemampuan untuk berkahwin demi menjaga maruah diri dan mengelak hubungan sosial melampaui batas.
Nik Aziz menasihati beliau semasa penyerahan kunci rumah di Taman Kurnia Jaya di sini, semalam.Penyerahan banglo setingkat bernilai RM200,000 itu genap setahun selepas Nik Abdul Aziz menjanjikan hadiah rumah daripada kerajaan negeri buat Khairul Fahmi selepas membantu Malaysia muncul juara Piala Suzuki AFF 2010.
Pada masa yang sama,Nik Aziz turut menyatakan rasa bangga atas kejayaan Khairul Fahmi yang kini mendahului senarai Pemain Terbaik Asia bawah 23 oleh laman web sukan terkenal,Goal.com dengan undian melebihi 74 peratus, selain turut disenaraikan sebagai salah seorang Penjaga Gol Terbaik.
Sementara itu, Khairul Fahmi ketika ditemui tidak menolak saranan tersebut namun, menyerahkannya kepada takdir dan jodoh.Bapanya, Che Mat Hussein, 59, pula berpandangan, Khairul Fahmi perlu memberi fokus kepada kerjayanya terlebih dahulu sebelum mendirikan soal berumahtangga.
Katanya, ini adalah kali pertama keluarga mereka akan tinggal di rumah sendiri setelah berpindah randah dari sebuah rumah sewa ke rumah sewa lain selama lebih 20 tahun.

0 ulasan:
Catat Ulasan