Sabtu, 14 Januari 2012

Pejabat Satelit sasar rakyat pedalaman

Untuk memastikan bantuan kepada kumpulan sasaran tidak tercicir.



KUCHING: Kementerian Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga merancang menubuhkan sebanyak 45 buah Pejabat Satelit di seluruh negeri sepanjang tahun ini dalam usaha membantu kumpulan sasar yang berkeperluan tidak tercicir daripada menerima perkhidmatan disediakan.

Menterinya, Datuk Hajah Fatimah Abdullah berkata penubuhan Pejabat Satelit itu secara idealnya akan memperluaskan liputan perkhidmatan Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sarawak (JKMNS) termasuk ke kawasan pedalaman yang sukar dihubungi.

Beliau menambah, cadangan konsep pelaksanaan pejabat seumpamanya kelak adalah seperti pejabat bergerak yang menggunakan van dan bas mayang bagi memudahkan golongan sasar mendapatkan perkhidmatan jabatan yang diperlukan.

“Kita yakin dengan adanya Pejabat Satelit ini, ia pasti dapat mengurangkan kos dan masa klien jabatan (masyarakat setempat) untuk berurusan dengan jabatan sekali gus dapat merealisasikan hasrat kerajaan yang mengutamakan kepentingan rakyat.

“Malah ianya akan meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan JKMNS ke kawasan luar bandar dan pedalaman,” katanya yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Sarawak.

Cadangan tempat penubuhan Pejabat Satelit di seluruh negeri ini adalah membabitkan bahagian Kuching (3), Sri Aman (5), Samarahan (4), Sarikei (3), Sibu (3), Mukah (3), Kapit (6), Bintulu (4), Miri (8), Betong (3) dan Limbang (3).

Mengulas lanjut, Fatimah memberitahu pemilihan tempat bagi penubuhan pejabat itu adalah berdasarkan lokasi tempat di sesebuah lokasi atau penempatan.

Katanya, ia juga berdasarkan bilangan kes penerima bantuan sedia ada dan statistik selain potensi penduduk yang dijangka memerlukan perkhidmatan kebajikan terutamanya bantuan kewangan bulanan.

“Pejabat ini juga akan beroperasi di rumah panjang bagi tempat yang tidak mempunyai kemudahan bangunan kerajaan.

“Manakala bagi mengurangkan kos, kita akan membuka operasi menggunakan bangunan kerajaan sedia ada seperti pejabat daerah kecil, klinik kesihatan, dewan masyarakat, sekolah, pusat pemulihan dalam komuniti (PDK), tabika dan lain-lain lagi,” ujarnya.

Hadir sama mengiringi rombongan lawatan itu ialah Menteri Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak dan Pembangunan Keluarga, Rosey

Yunus, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Ranum Mina, Pengarah JKMNS, Noriah Haji Ahmad, Pegawai Pelajaran Daerah Lundu, Ambrose Jarit dan Guru Besar SK Lebai Mentali, Sulaiman Haji Rajus.

0 ulasan: