Ahad, 15 Januari 2012

PKR dakwa tanah peneroka kurang dari 51 peratus kepada 42.7 peratus

Penyenaraian FGV menjadi sdebab pengurangan tersebut, kata pengerusi jawatan kuasa setinggan dan orang Asli PKR, Suhaimi Said.



PETALING JAYA: Pakatan Rakyat akan meneruskan perjuangan membela kepentingan para peneroka Felda dengan menolak penyenaraian syarikat Felda Global Ventures (FGV).

Rancangan penyenaraian FGV dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Sri Najib Tun Razak semasa membentangkan Belanjawan 2012.

Bercakap mengenai perkara ini, Ketua Biro Felda PKR, Suhaimi Said mendedahkan bahawa penyenaraian tersebut telah pun mengurangkan pemilikan tanah peneroka dari 51 peratus kepada 42.7 peratus .

“Penyenaraian ini bertentangan dengan konsep asal penubuhan Felda di mana peneroka ditafsir sebagai pemilik tanah,” kata Suhaimi di dalam konvensyen Pakatan Rakyat ketiga di Alor Setar pagi tadi.

Ular lidi telan ular sawa

Beliau mengumpamakan keadaan ini seperti ular lidi telan ular sawa.

Suhaimi turut mengulas bahawa generasi kedua dan ketiga Felda turut diabaikan kerana tidak diberi insentif perumahan.

“BN buat rumah untuk generasi kedua tetapi kebanyakannya tidak dapat menunjukkan penyata gaji. Yang boleh ialah anak pengurusan Felda dan pihak-pihak yang tidak kena – mengena dengan Felda.”

Ini kerana kebanyakan generasi kedua dan ketiga tidak mempunyai pekerjaan.

Beliau berkata begitu untuk menggambarkan bagaimana sebilangan kecil kumpulan orang yang mendapat keuntungan meskipun Felda diusahakan oleh ramai peneroka.

Justeru itu, Suhaimi menyatakan bahawa Pakatan Rakyat akan memansuhkan Felda Plantations Berhad yang memajukan tanah yang tidak dimiliki peneroka.

“Pemansuhan ini akan membolehkan 830,000 hektar tanah dibuka untuk golongan peneroka generasi kedua dan ketiga.”

Selain itu beliau turut mengumumkan projek perumahan rumah mampu milik kepada generasi kedua dan ketiga Felda.

0 ulasan: