Isnin, 16 Januari 2012

SMM: Tindakan polis tahan mahasiswa USM agresif dan berat sebelah



KUALA LUMPUR — Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) mengecam tindakan polis menahan seorang penuntut Universiti Sains Malaysia (USM) yang ditahan kerana didakwa membuat ancaman terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dengan bahan letupan melalui laman sosial Facebook.

Selain itu SMM turut menyifatkan tindakan polis itu sebagai terlalu agresif dan berat sebelah terhadap mahasiswa walaupun kesalahan yang dibuat bukan kesalahan berat.

“Tindakan polis menahan seorang mahasiswa USM hanya kerana mengecam perdana menteri melalui laman Fcaebook merulakan satu lagi bentuk perilaku agresif yang disengajakan polis terhadap mahasiswa.

“SMM melihat sifat agresif polis dalam menahan mahasiswa signal jelas terhadap mahasiswa yang sejak kebelakangan ini semakin bangkit memperjuangkan hak kebebasan akademik,” kata pengerusinya Ahmad Syukri Ab Razab.

Semalam seorang mahasiswa USM ditahan kerana didakwa membuat ancaman terhadap Najib dengan bahan letupan.

Satu laporan polis dibuat terhadap ancaman itu itu di balai polis Jelutong, yang ditampilkan dalam sebuah blog menunjukkan paparan Facebook penuntut berkenaan.

Dalam satu mesej yang ditulis, penuntut itu dikatakan menulis rancangan meletakkan bahan letupan di dalam helikopter yang akan membawa perdana menteri dalams satu lawatan rasmi di universiti itu minggu depan.

Mahasiswa berusia 24 tahun itu dikatakan menulis: “najib akan datang ke kampus kita...mari letupkan helikoppternya...”

Menurut Ahmad Syukri, tindakan polis itu juga dilihat berat sebelah jika dibandingkan dengan tindakan pihak berkuasa itu terhadap individu yang mengancam mahasiswa.

“Sebagai contoh individu yang cuba menumbuk Adam Adli (Abd Halim) dan mukanya dirakam media tetapi sehingga hari ini masih bebas dan tidak menghadapi sebarang tindakan daripada pihak polis.

“Begitu juga dengan individu yang mencederakan Muhammad Safwan Anang yang masih bebas sedangkan laporan polis telah lama dibuat,” katanya.

Justeru Ahmad Syukri meminta Najib supaya tidak berdiam diri terhadap perilaku yang ditunjukkan polis terhadap mahasiswa.

“SMM menggesa pihak polis segera membebaskan mahasiswa yang ditahan. SMM juga mengecam sifat berdiam diri perdana menteri yang masih berdiam terhadap isu mahasiswa yang sedang melanda negara.

“Jika perdana menteri komited dalam melaksanakan transformasi politik beliau harus menasihati polis agar profesional apabila berhadapan dengan kebangkitan anak muda,” katanya.

0 ulasan: