KUALA LUMPUR — Aktivis mahasiswa Adam Adli Abdul Halim, yang menjadi perhatian sejak sebulan lalu hari ini dipanggil memberi keterangan berhubung insiden menurunkan kain rentang bergambar Datuk Seri Najib Razak.
Adam Adli, 22, yang tiba di ibu pejabat polis daerah Dang Wangi kira-kira pukul 11.30 pagi tadi ditemani peguam Fadiah Nadwa Fikri sebelum keluar sejam kemudian.
Menurut Fadiah Nadwa, Adam Adli (gambar) telah dihubungi polis dua hari lepas dan diminta untuk memberikan keterangan hari ini.
Bagaimanapun menurut peguam hak asasi ini, terdapat banyak kemusykilan semasa memberi keterangan tadi terutamanya apabila polis tidak memberikan jawapan tentang asas untuk memanggil Adam Adli.
“Adam Adli dipanggil hari ini untuk memberikan keterangan berhubung insiden menurunkan kain rentang bergambar Najib, saya bertanyakan kepada pegawai polis tentang asas untuk memanggil Adam Adli hari ini.
“Namun pegawai polis itu menjawab Adam Adli dipanggil kerana ada laporan polis terhadapnya telah difailkan,” kata Fadiah Nadwa kepada pemberita sebaik sahaja keluar dari balai polis.
Menurut beliau, Adam Adli disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan atas kesalahan dengan sengaja menaikkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanaan yang disifatkan beliau tidak berasas.
“Saya minta untuk melihat laporan polis yang difailkan terhadap Adam Adli namun pegawai polis untuk menjawab pihak atasan tidak membenarkan laporan itu didedahkan.
“Kita tidak tahu sama ada betul atau tidak laporan itu,” kata Fadiah Nadwa menambah 11 soalon telah ditanya kepada Adam Adli.
Namun menurut beliau, Adam Adli telah menggunakan hak untuk tidak menjawab sebarang soalan yang dikemukakan itu.
“Soalan yang dikemukakan agak pelik, pegawai polis itu ada tanya sama ada Adam Adli memijak kain rentang yang diturunkan itu sedangkan insiden itu tidak berlaku.
“Seperti kita tahu Adam Adli hanya menurunkan kain rentang itu seketika dan gantikan dengan sepanduk kebangkitan mahasiswa selama lima minit,” katanya.
Sementara itu Adam Adli, mahasiswa dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berkata polis tiada hak untuk memanggilnya memberikan keterangan berhubung insiden itu.
“Tiada sebab untuk saya dipanggil, tiada sebab itu heret saya ke balai polis.
“Saya harap polis bertindak adil, kalau nak heret saya ke mahkamah heretlah... saya tiada masalah,” katanya.-Themalaysianinsider

0 ulasan:
Catat Ulasan