Rabu, 15 Februari 2012

Azmin disiasat bawah Akta Hasutan

KEADILAN DAILY

KEPONG : Timbalan Presiden KEADILAN, Mohamed Azmin Ali dipanggil memberi keterangan kepada polis berhubung perhimpunan aman di Mahkamah Jalan Duta pada 9 Januari lalu.


Beliau disiasat di bawah Seksyen 41 A Akta Hasutan 1948, di Balai Polis Kepong kira-kira jam 11.05 pagi tadi.

Bercakap kepada pemberita selepas memberi keterangan, Azmin berkata terdapat satu laporan polis dibuat oleh OCPD Sentul, ACP Zakaria Pagan pada 30 Disember lalu, yang mendakwa beliau menganjurkan perhimpunan tersebut.

“Saya kecewa dan kesal atas tindakan ini kerana ia satu tindakan untuk menekan dan menutup suara Pakatan Rakyat dengan mengguna Akta Hasutan.

“(Sedangkan) pada 6 Januari, pegawai (tertinggi) polis memberi kebenaran perhimpunan diadakan pada 9 Januari. Mengapa siasatan ini diteruskan.

“Ini satu bentuk harrassment untuk senyapkan pemimpin Pakatan Rakyat,” katanya.

Dalam sesi keterangan tersebut, Azmin yang juga ahli parlimen Gombak berkata, beliau antara lain ditanya mengenai pembabitan Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Shamsul Iskandar Md Akin dalam menganjurkan perhimpunan tersebut.

Bagaimanapun, Azmin berkata, beliau mengambil sikap untuk berdiam diri hanya akan memberi keterangan sekiranya di hadap ke mahkamah.

Pada 9 Januari lalu, KEADILAN menganjurkan perhimpunan aman untuk menyatakan sokongan terhadap Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada hari keputusan perbicaraan Fitnah II.

Polis sebelum itu, turut memberikan kebenaran untuk mengajurkan perhimpunan berkenaan dengan meletakkan beberapa syarat yang semuanya dipatuhi oleh penyokong KEADILAN.

0 ulasan: