HALAMAN SANTAI

Sabtu, 18 Februari 2012

Cabaran Makan Tuan, Guan Eng Harus Letak Jawatan

Post Pic

ANTARA POS.COM


PULAU PINANG : Ketua Menteri, Lim Guan Eng mungkin terpaksa bersara dari arena politik apabila cabarannya supaya UMNO membuktikan bahawa penjualan tanah seluas 41.6 hektar di Bayan Mutiara di sini dengan harga RM1.1 bilion tidak dilakukan secara tender terbuka berjaya ditunaikan.

UMNO negeri semalam mendesak Setiausaha Agung DAP itu mengotakan janji selepas berjaya mengemukakan beberapa bukti yang dilihat menimbulkan pelbagai persoalan terhadap proses tender terbuka tersebut.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Zainal Abidin Osman berkata, berdasarkan maklumat daripada laman web pemilik tanah berkenaan, Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), tarikh tutup tender adalah 31 Disember 2010.

Bagaimanapun, tegasnya, menerusi laporan syarikat swasta yang berjaya memperoleh tender itu kepada Bursa Malaysia, permohonan untuk membeli serta membangunkan tanah tersebut hanya dibuat kepada PDC pada 3 Mac 2011, manakala surat persetujuan diterima 25 Julai tahun yang sama.

"Terlalu banyak perkara yang menimbulkan kekeliruan dan kesangsian besar di kalangan rakyat.

"Ini sudah cukup membawa kepada peletakan jawatannya sebagai Ketua Menteri kerana tiada ketelusan dalam pentadbirannya seperti slogan Cekap Akauntabiliti Telus (CAT)," katanya pada sidang akhbar di sini, semalam.

Guan Eng semalam mencabar Zainal Abidin dan Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan berundur dari politik jika gagal membuktikan penjualan tanah di Bayan Mutiara tidak dilakukan secara tender terbuka.

Beliau juga sedia berbuat sama sekiranya bukti-bukti tersebut dapat dikemukakan.

Zainal Abidin menambah, selain itu, terdapat laporan menunjukkan bahawa penilaian terhadap tanah terbabit hanya dibuat pada 3 Oktober 2011, iaitu selepas tarikh tutup tender.

Jelasnya, selagi Guan Eng tidak memberi penerangan lengkap bagaimana proses tender itu dibuat, ia dilihat sebagai rundingan terus.

"Sampai hari ini, Guan Eng belum sebut berapa ramai pihak yang masuk tender, siapa yang menilainya dan siapa di dalam jawatankuasa pemilihan tender berkenaan.

"Maklumat yang kita dapat hanya dua syarikat yang membuat permohonan. Ini jarang berlaku dalam negara ini iaitu hanya dua syarikat masuk tender terbuka," ujarnya.

Abdul Rahman ketika dihubungi AntaraPos.com semalam menyifatkan Guan Eng terlalu emosi apabila perkara itu didedahkan.

Malah menurut beliau, jawapan seumpama itu tidak wajar keluar daripada mulut seorang Ketua Menteri.

"Saya tengok dari segi jawapan beliau, dia lebih emosi. Emosi menjawab persoalan-persoalan yang diajukan mengenai penjualan tanah tersebut. Penjualan tanah tersebut banyak kontroversi dan banyak persoalan yang perlu dijawab oleh kerajaan negeri. Ini bukan soal nak kenakan beliau, kita nak tahu sama ada penjualan itu dibuat secara telus atau tidak,"katanya.

Tiada ulasan: