ANTARA POS.COM
KUALA LUMPUR: Presiden MCA, Datuk Dr Chua Soi Lek, mendakwa dokumen dasar Pakatan Rakyat, - Buku Jingga akan menyebabkan Malaysia muflis dalam tempoh dua tahun sekiranya pembangkang menawan Putrajaya pada pilihanraya umum akan datang.
Beliau menegaskan hutang negara melebihi 100 peratus daripada Keluaran Negara Kasar (KNK) sekiranya pembangkang menepati janji untuk memberikan imbuhan bulanan bagi memastikan pendapatan isi rumah mencapai RM4,000 sebulan dalam tempoh lima tahun..
"Sejumlah RM93.9 bilion diperlukan setahun untuk membayar 3.8 juta isi rumah bagi memastikan pendapatan mereka dijamin RM4,000 sebulan," katanya lagi.
Beliau berkata demikian pada forum Persimpangan Arah Politik Kaum Cina Malaysia, di sini, hari, ini.
Chua menambah, jika Pakatan mengotakan semua janji dalam Buku Jingga, Malaysia akan menanggung beban kos antara RM199 bilion hingga RM 254 bilion manakala defisit belanjawan akan meningkat 27.5 peratus kepada RM617 bilion setahun.
"Malaysia akan jadi bankrap dalam tempoh dua tahun jika Pakatan memerintah memandangkan defisit belanjawan melebihi 10 peratus KNK dan hutang awam akan meningkat 100 peratus daripada KNK," tambah beliau lagi.
Buku Jingga, dikeluarkan Pakatan Rakyat, mengariskan rancangan berbentuk jangka pendek dan jangka panjang dalam mentadbir negara sekiranya mengambil alih pemerintahan dalam pilihan raya akan datang.
Dokumen tersebut adalah dasar bersama dipersetujui parti-parti dalam PR dan dicanang sebagai rencana dasar pembangkang untuk membela rakyat berlandaskan empat kerangka, iaitu demokrasi, ekonomi, keadilan sosial dan hubungan persekutuan-negeri dan dasar luar negara.


0 ulasan:
Catat Ulasan