Rabu, 15 Februari 2012

Dr.Hasan Ali: Tsunami Kecil Bakal Melanda Arena Politik Negara Dengan Tertubuh "JATI" 21 Feb Ini!

PAHANG DAILY


KUALA LUMPUR
- Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Datuk Dr. Hasan Ali (foto) meramalkan “tsunami kecil” bakal melanda arena politik negara ini, dengan tertubuhnya sebuah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), JATI pada 21 Februari ini.

Ramalan itu, ditegaskan beliau dalam program “Dalam Radar” terbitan Bernama Radio24, semalam, adalah berdasarkan kepada sokongan padu yang diterimanya dalam siri jelajah ke seluruh negara baru-baru ini di mana puluhan ribuan penduduk turun padang untuk menyambut kehadirannya.

Beliau berkata, gambaran dan sambutan awal yang diterimanya meyakinkan beliau bahawa masa hadapan pergerakan kuasa ketiga di Malaysia adalah cerah meskipun ia merupakan sesuatu yang baharu dalam arena politik negara.

"Saya percaya blok kuasa ketiga yang dirancang ini akan datangkan impak besar, setidak-tidaknya kepada kumpulan masyarakat Malaysia yang sudah tahu berfikir. Mutakhir ini, rakyat Malaysia sudah jadi sebuah masyarakat pemikir yang mana mereka tidak akan mudah terima sesuatu yang dianggap basi.

"Kehadiran kuasa ketiga berkenaan sesungguhnya akan menjadi lebih dominan dan besar untuk melancarkan satu sistem gerakan yang sangat diperlukan di Malaysia.

Pemecatan saya daripada Pas yang pada awalnya tidak signifikan dan dikatakan hanya cetuskan gelombang kecil, kini telah jadi suatu gelombang besar,”
kata Dr.Hasan Ali.

0 ulasan: