MB Selangor berkata, pihaknya telah meminta dua ahli panel Transparency International menemuramah Noh bagi mendapat maklumat berkaitan dakwaannya itu.
SHAH ALAM: Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar perlu bersedia untuk memberikan maklumat berhubung dakwaannya membabitkan isu penyelewengan pasir di Selangor kepada ahli panel yang sedia dilantik oleh kerajaan negeri.
Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, pihaknya telah meminta dua ahli panel Transparency International untuk menemuramah Noh bagi mendapat maklumat berkaitan dengan dakwaannya itu.
“Kita meminta dua pengarah bebas yang juga ahli panel terbabit untuk menemuramah Noh tentang maklumat yang beliau perolehi berhubung dakwaan penyelewengan pasir itu.
“Noh perlu bersedia untuk memberikan maklumat dan kita akan dedah kepada umum mengenainya. Malah perkara ini bagi membolehkan tindakan sesuai diambil berhubung dakwaan yang dilemparkan,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco di sini hari ini.
Kesemua transaksi perniagaan pasir di Selangor dipantau Transparency International dan dua pengarah bebas badan itu juga dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) sejak tahun lalu.
Transparency International telah melantik Chong Seng Gee dan Sabtu Md Ali sebagai ahli panel.
Noh yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor mendakwa pihaknya mempunyai dokumen serta bukti kukuh bagi membuktikan kegiatan tersebut sememangnya berlaku.
Menurut beliau, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mendedahkan segala bukti dan dokumen tersebut apabila tiba masanya nanti.
Ketika ditanya pemberita mengenai dua Ahli Dewan Undangan Negeri PKR yang dikaitkan dengan penyelewengan yang sama, Abdul Khalid berkata pihak yang mengeluarkan kenyataan berkenaan perlu bersedia dengan tindakan undang-undang yang akan diambil oleh pihak berkaitan.
Kepentingan lain
Sementara itu, beliau turut menegaskan tindakan merampas tanah pajakan di negeri itu dibuat ekoran terdapat pihak yang menyalahguna tanah diberikan untuk kepentingan lain dan bercanggah dengan apa yang dipersetujui.
Ujarnya, ada pihak yang telah menyalahgunakan tanah pertanian untuk pembangunan komersil tanpa mendapat kebenaran daripada kerajaan negeri.
“Sebagai contoh tanah yang diberikan untuk sektor pertanian maka mereka perlu menggunakan untuk bidang pertanian. Sebaliknya jika
mereka hendak membuat pembangunan komersil menggunakan tanah tersebut maka mereka perlu menukar status tanah tersebut kepada tanah untuk pembangunan.
“Anda tidak boleh menggunakan tanah yang ditentukan untuk satu-satu sektor kepada sektor lain tanpa kebenaran daripada kerajaan negeri,” tegas beliau.
Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan negeri sekali lagi memberi jaminan bahawa tidak akan berlakunya krisis air menjelang 2014.
Menurut Exco kerajaan negeri Dr Xavier Jayakumar, perkara itu hanya dibangkitkan oleh kerajaan Barisan Nasional sebagai satu propoganda politik.
“Kerajaan negeri sedang mempercepatkan langkah bagi merawat air sungai untuk penggunaan sektor perindustrian di Selangor.
“Malah telah diluluskan lesen pemindahan air mentah kepada anak syarikat Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB), Konsortium Air Sdn Bhd yang mempunyai trek rekod dan kepakaran teknologi terkini,” katanya.


0 ulasan:
Catat Ulasan