Rabu, 15 Februari 2012

Isu pasir: Tunggu keputusan panel SPRM

Shuhaimi berkata, tidak wujud sebarang rasuah atau dorongan RM50,000 yang cuba dibangkitkan kembali isu itu oleh Raja Petra Kamaruddin.



PETALING JAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri Sri Muda Shuhaimi Shafieidari PKR yang didakwa terlibat dalam isu rasuah dan skandal perlombongan pasir di Selangor berharap keputusan panel khas berhubung hal itu mampu membersihkan nama beliau.

Enggan memberikan keyakinan mutlak pada keputusan panel terlibat, Shuhaimi beranggapan tiada sebarang tindakan akan diambil sambil merujuk kepada keputusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mengatakan perkara yang sama sebelum ini.

Shuhaimi menegaskan sepertimana laporan awal beliau disiasat SPRM, tidak wujud sebarang rasuah atau dorongan RM50,000 yang cuba dibangkitkan kembali isu itu oleh penulis blog Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin (RPK).

“Kita tunggu 23 Februari ini. Saya masih berpegang kepada kenyataan SPRM sebelum ini tiada tindakan akan diambil. Sejak dari awal saya bertegas bahawa itu pinjaman peribadi. Kewujudan bahawa RM50,000 untuk dorongan meluluskan apa-apa sahaja permintaan untuk kawasan saya, perkara itu sebaliknya tidak berlaku.

“Saya harap ada penyataan rasmi untuk bersihkan nama saya mahupun (Adun Batu Caves) Amiruddin Shari. Sehingga waktu ini saya masih berpegang kepada kenyataan SPRM,” katanya kepada FMT.

Bebas dan telus

Ketika ditanya mengenai tindakan undang-undang ke atas RPK, Shuhaimi berkata perkara itu masih dalam peringkat perbincangan.

Dalam perkara berkaitan, Shuhaimi turut menasihati Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin agar ‘cermin diri’ sebelum mempertikaikan hal orang lain.

Dakwa beliau, Khairy gagal membersihkan namanya dari pelbagai tuduhan rasuah politik ketika bertanding sebagai Ketua Pemuda Umno.

“Saya bukan seperti Khairy yang dituduh melakukan ‘rasuah politik wang’ semasa pemilihan Umno dan hanya ‘dibersihkan’ oleh

Jawatankuasa parti sendiri sahaja bagi melayakkan bertanding Ketua Pemuda Umno dan menang secara ‘meragukan’,” katanya membidas kenyataan Khairy mendakwa beliau gagal membersihkan nama dari rasuah.

SPRM melalui satu kenyataan pada Jumaat lalu berkata hasil siasatan akan dikemukakan kepada panel berkenaan untuk mengkaji,meneliti dan mengesyorkan hasil daripada keputusan itu.

Panel itu yang dipengerusikan bekas Ketua Audit Negara Tan Sri Dr Hadenan Abdul Jalil serta dianggotai tujuh yang lain dilantik kerajaan daripada kalangan mereka yang mempunyai kepakaran dan mewakili badan-badan profesional yang bersesuaian bagi memastikan SPRM menjalankan tugas dengan bebas serta telus tanpa rasa takut dan memihak. Panel khas ini dijangka bersidang pada 23 Februari ini.

0 ulasan: