NGO ini terbuka kepada semua kaum yang menyokong prinsip asas penubuhannya mempertahankan konsep IMR.
SHAH ALAM: Pengasas Jalur Tiga (Jati) Datuk Dr Hasan Ali menegaskan badan bukan kerajaan (NGO) itu secara eksklusifnya tidak hanya diberikan kepada masyarakat Melayu.
Tetapi terbuka kepada semua kaum yang menyokong prinsip asas penubuhannya mempertahankan konsep mengagungkan Islam, memartabatkan bangsa Melayu, serta mendaulatkan institusi Raja-Raja dan Perlembagaan (IMR).
Pelancaran Jati katanya akan berlangsung di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) pada 21 Februari ini dan menjangkakan kehadiran 1,000 orang daripada golongan belia, wanita, usahawan, dan profesional yang menyokong IMR.
“Keahlian secara rasminya akan dibuka secara online salam@jalurtiga.org selepas pelancaran nanti,” katanya dalam majlis pra pelancaran Jati di sini hari ini.
Katanya, permintaan orang ramai untuk menjadi ahli Jati setakat ini sangat menggalakkan dan Perak akan menjadi negeri pertama melancarkan Jati peringkat negeri pada 27 Februari ini di Kuala Kangsar.
Bekas Pesuruhjaya PAS Selangor ini juga tidak bimbang jika NGO yang didaftarkan dibawah ROS itu dikaitkan dengan Pertubuhan Pribumi
Perkasa Malaysia (Perkasa) yang seakan sama prinsip asas perjuangannya.
“Mana-mana badan yang sama perjuangan memperjuangkan IMR, Jati sedia bekerjasama jika ada program atau kenyataan yang boleh dibuat secara bersama,” katanya.
Beliau turut menegaskan Jati tidak mempunyai kaitan dengan perjuangan politik peribadinya.
Malah tidak melarang ahlinya terlibat dalam politik sekiranya ingin bertanding dalam pilihan raya selain turut mengalu-alukan ahli politik sedia ada yang berminat menyertai NGO itu.
“Ahli Jati yang nak masuk politik dan bertanding pilihan raya tiada masalah dengan syarat hanya membawa nama parti yang ditandinginya dan bukan nama Jati,” katanya.


0 ulasan:
Catat Ulasan