Jumaat, 17 Februari 2012

Najib: Status Shahrizat bawah kuasa saya


KL TODAY


Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak, menolak spekulasi kemungkinan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil bakal meletak jawatan.Sebaliknya, Datuk Seri Najib menekankan kepada para wartawan di sini, bahawa keputusan berhubung masa depan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Malaysia itu menjadi hak beliau sebagai Perdana Menteri negara itu, demikian lapor laman berita The Malaysian Insider, semalam.

Datuk Seri Najib menambah bahawa isu tersebut tidak pun ditimbulkan seperti yang dijangka ramai dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Barisan Nasional (BN), malam kelmarin, di Pusat Dagangan Putra, di sini.

‘Tidak, tidak, tidak dibincangkan di sini. Dan ia adalah hak perdana menteri,’ kata beliau pada satu sidang akhbar selepas mesyuarat itu.

Datuk Seri Najib berkata demikian sebagai mengulas desas-desus yang mendakwa bahawa Datuk Seri Shahrizat enggan meletak jawatan politik dan jawatan kerajaan walaupun terdapat kritikan meluas yang mengaitkan beliau dengan skandal Pusat Fidlot Nasional (PFN).

Sejak isu kontroversial itu menjadi tajuk berita tahun lalu, Datuk Seri Shahrizat, yang juga Ketua Wanita Umno, menghadapi gesaan agar beliau meletak jawatan daripada kalangan pemimpin kanan Umno dan BN, yang merasakan ahli politik itu akan menjadi satu liabiliti kepada parti memerintah itu menjelang pilihan raya umum yang akan datang.

Kerajaan pimpinan BN juga belum lagi ‘menegur’ Datuk Seri Shahrizat berhubung dakwaan pembabitan beliau dalam skandal tersebut, malah perkara itu juga tidak ditimbulkan dalam mesyuarat Kabinet pada sebelah petang kelmarin, menurut laman berita itu.

Sebelum ini, mantan perdana menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad, menasihatkan Datuk Seri Shahrizat supaya berundur demi kebaikan Umno

0 ulasan: