Sabtu, 18 Februari 2012

Pertemuan Jamil Khir-Pemuda Pas tangguh

Haslina Binti Kamaludin

Jamil Khir Baharom

KUALA LUMPUR - Pertemuan antara Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Pemuda Pas, yang sepatutnya berlangsung Isnin ini bagi membincangkan isu Yayasan Taqwa menerima wang zakat RM4 juta, ditangguhkan.

Ketua Pemuda Pas, Nasrudin Hassan berkata, pihaknya menerima surat penangguhan dan mohon diubah ke satu tarikh baru.

Kata beliau, pertemuan yang sepatutnya diadakan Isnin itu akan ditunda, namun ia masih belum menemui kata putus kedua-dua pihak.

"Kami baru sahaja dimaklumkan mengenai penangguhan tersebut. Surat yang diterima mahukan kami bertemu pada 22 Februari, tetapi pada tarikh tersebut Pemuda Pas sudah ada agenda dan tidak dapat diteruskan.

"Namun, kami akan memberi tarikh baru iaitu pada 27 Februari dan berharap tiada halangan kepada kedua-dua pihak untuk bertemu," katanya kepada media di Ibu Pejabat Pas di sini, hari ini.

Jelasnya, pertemuan tersebut adalah bagi merungkai setiap persoalan yang diajukan Pemuda Pas berhubung isu wang zakat yang diterima Yayasan Taqwa sebanyak RM4 juta sedangkan ia hanya memohon RM1 juta pada 17 September lalu.

Menerusi pertemuan itu juga, Pas akan menyerahkan satu memorandum kepada Jamil Khir bagi mendapatkan penjelasan lebih terperinci mengenai isu tersebut dan mahu ia diselesaikan dengan kadar segera.

"Ini bukan isu kecil. Ia melibatkan wang zakat yang diberikan rakyat, yang mana harus disalurkan kepada asnaf.

"Namun menurut maklumat dan bukti yang kami terima, ada perkara lain yang wujud dalam yayasan tersebut dan kerana itu, kami mohon penjelasan berserta bukti lengkap seperti laporan audit," katanya.

0 ulasan: