Oleh Nur Atiqah Abd Samad
SHAH ALAM : Kerajaan Selangor mengalu-alukan Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO negeri ini, Datuk Seri Noh Omar mengemukakan apa jua bukti penyelewengan mahupun pilih kasih oleh anak syarikatnya, Kumpulan Semesta Sdn Bhd dalam menawarkan pembelian pasir kepada syarikat kontraktor.
Menteri Besarnya, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, jika Noh Omar mempunyai bukti, beliau sepatutnya sudah bersedia untuk tampil dengan dokumen-dokumen bersabit dakwaan penyelewengan itu untuk dibentangkan kepada wakil Transparency International (TI) yang sudah dilantik.
"Saya sudah meminta pihak yang mewakili Transperancy International (yang sudah dilantik) untuk menemuramah Noh Omar bagi melihat bukti yang beliau miliki supaya mereka boleh melakukan pendakwaan. Jika Noh Omar ada bukti, beliau harus bekerjasama dengan badan bebas yang telah dilantik oleh Transperancy International itu dan sebarkan kepada umum mengenai keputusan tersebut seterusnya mengambil tindakan jika berlaku penyelewengan," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Selangor hari ini.
Transperancy International merupakan sebuah badan yang memantau semua transaksi perniagaan pasir di Selangor dan dua pengarah bebas badan itu juga dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah KSSB.
Transparency International telah melantik Chong Seng Gee dan Sabtu Md Ali untuk menduduki jawatan Ahli Lembaga Pengarah KSSB, malahan KSSB juga diaudit setiap suku tahun oleh juruaudit bebas.
Semalam Noh Omar mendakwa daripada maklumat yang diperolehnya, sebuah syarikat diberikan diskaun sebanyak 22 peratus atau RM4 bagi pembelian satu tan pasir yang berharga RM17.50 sementara syarikat-syarikat lain hanya diberi potongan 50 sen sahaja bagi setiap tan pasir yang dibeli.
Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani mendakwa KSSB turut memberi kemudahan kredit kepada sebuah syarikat dan lima kontraktor untuk mengorek pasir pasir tanpa perlu membayar deposit.
Sementara itu, Khalid hari ini turut "menjemput" Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan serbuan ke atas KSSB kerana tiada apa yang disembunyikan oleh syarikat itu.
"Kerajaan negeri juga mengalu-alukan SPRM untuk menggunakan pejabat KSSB bagi menjalankan siasatan berkaitan dengan operasi syarikat ini dan SPRM juga boleh melakukan serbuan serta melakukan pengawasan terhadap KSSB,"ujarnya.
Beliau juga mengulas mengenai tuduhan yang dilemparkan kepada dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PKR, Shuhaimi Shafiei dan Amiruddin Shari, supaya tiada spekulasi dibuat kerana perkara ini masih disiasat oleh SPRM dan kepada pihak yang menuduh hendaklah bersedia berhadapan dengan tindakan saman jika terbukti ia tidak benar.
Pengarang blog Malaysia Today Raja Petra Kamaruddin sebelum ini mendakwa Shuhaimi dan Amiruddin sebagai terbabit dalam rasuah untuk meraih kontrak industri pasir di negeri itu.
Raja Petra mendakwa beliau mempunyai rakaman telefon Shuhaimi yang meminta RM50,000 daripada seorang ahli peniagaan yang hanya mahu dikenali sebagai SC.
Wang itu, menurut Raja Petra adalah sebagai sogokan untuk mendapatkan kontrak pasir daripada KSSB yang dimiliki kerajaan Selangor.
Shuhaimi, Adun Seri Muda dan Amiruddin, ADUN Batu Caves juga didakwa menjadi ahli lembaga pengarah Double Dignity (M) Sdn Bhd yang ditubuhkan oleh SC untuk mendapat kontrak itu.


0 ulasan:
Catat Ulasan