Khamis, 16 Februari 2012

Tian Chua: Ada Agenda di Sebalik Lanjutan Program 6P

Oleh Naeem Raffi


KUALA LUMPUR : Lanjutan proses pemutihan Program Penyelesaian Menyeluruh Pendatang Asing Tanpa Izin (Program 6P) seperti yang diumumkan semalam memberi gambaran jelas bahawa program itu tidak dilaksana dengan baik.

Sekaligus menimbulkan kegelisahan rakyat yang prihatin dengan perkembangan politik tanah air ekoran khuatir pelaksanaannya berobjektifkan kepentingan politik kerajaan pemerintah seperti yang berlaku di Sabah pada tahun 80-an sebagai usaha untuk kekal berkuasa.

Senario ini digambarkan oleh Naib Presiden PKR, Tian Chua ketika mengulas tindakan Kementerian Dalam Negeri yang melanjutkan Program 6P.

"Perkara ini harus disiasat dengan betul, kerana kita khuatir ianya satu komplot yang dirancang untuk menjatuhkan Pakatan Rakyat atau mempengaruhi keputusan pilihanraya.

"Ini adalah satu perkara yang serius kerana ia melibatkan soal keselamatan negara dan prinsip demokrasi,"jelas Tian.

"Apa yang jelas pengambilan secara besar-besaran ini adalah untuk mengambil kesempatan keatas pendatang baru ini, mereka mudah dipengaruhi dan ditekan untuk mengundi parti yang memerintah,"katanya.

Program 6P yang mula dilaksanakan secara pentadbiran sejak 11 Januari lalu yang sepatutnya berakhir semalam.

Bagaimana pun ia dilanjutkan sehingga 10 April depan.

Laporan media sebelum ini melaporkan, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Mahmood Adam sebagai berkata pihaknya membuat keputusan itu selepas menimbang permohonan majikan, persatuan serta kumpulan peniaga kecil untuk membolehkan mereka menyediakan dokumen diperlukan, khususnya passport perjalanan pekerja asing tanpa izin yang diproses pejabat kedutaan negara masing-masing.

Sehingga semalam, sejumlah 379,020 PATI membabitkan 33,053 majikan telah diputih dan diampunkan, termasuk 94,856 yang telah pulang ke negara masing-masing.

khuatir dengan implikasi kecurangan dalam Program 6P ini, Tian berkata Pakatan Rakyat bertegas agar kerajaan pusat menubuhkan sebuah Suruhanjaya Diraja dalam kadar segera bagi menyiasat isu pendatang asing tanpa izin (PATI) yang diberikan hak kewarganegaraan.

"Selain daripada Pakatan Rakyat, kini desakan untuk menubuhkan Suruhanjaya Diraja Pandatang Asing ini juga disetujui oleh banyak NGO-NGO termasuk parti-parti dari kalangan barisan Nasional menyokong pelaksanaan ini.

"Saya berharap perkara ini tidak dilengahkan sebelum pilihanraya supaya sebarang tindakan dapat diambil dan digunapakai dalam sistem pilihanraya kita,"

Tian berkata demikian dalam satu temubual ekslusif bersama TVSelangor di sini hari ini.

Sebelum ini, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesa Kerajaan Pusat menubuhkan sebuah Suruhanjaya Diraja dalam kadar segera ekoran khuatir dengan peningkatan pengundi dari kalangan pendatang asing yang semakin meningkat sejak akhir-akhir ini.

Prihatin dengan perkembangan yang membimbangkan ini, Anwar memberi contoh analisis pertambahan pengundi di negeri Selangor yang amat mencurigakan terutamanya dikawasan Parlimen yang dimenangi Pakatan Rakyat.

Sebagai rekod, pertambahan pengundi di Parlimen Subang mendadak sebanyak 35 peratus menyaksikan penambahan 30,000 pengundi.

Manakala di parlimen Kota Raja peningkatan berlaku sebanyak 29.5 peratus dengan penambahan 21,000.

Baru-baru ini Perdana Menteri Bangladesh, Sheik Hasina Wajed membuat kenyataan mengejutkan apabila mendakwa rakyat negara itu yang bekerja di Malaysia diberi kerakyatan mudah jika mengundi Umno-BN.

Kenyataan itu dipetik dari www.ngoab.gov.bd iaitu laman rasmi Hal Ehwal badan bukan kerajaan (NGO) Jabatan Perdana Menteri negara itu.

Bagaimanapun pendedahan itu dipadamkan selepas 24 jam ia disiarkan.

Skandal pemberian kad pengenalan atas dasar kepentingan politik pemerintah ini bukan pertama kali dibangkitkan oleh Pakatan Rakyat dan media.

Sebelum ini, skandal yang sama berlaku di Sabah sejak tahun 1980 an dan 1990 an ketika era pemerintahan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Satu kajian melaporkan sehingga 2005, seramai 600,000 pendatang tanpa izin mendapat status kewarganegaraan tetap melalui projek IC di Sabah bertujuan untuk memenangkan Umno-BN dalam pilihanraya.

Implikasinya, rakyat negeri itu terpaksa berdepan dengan persaigan kehidupan dengan pendatang baru dari sektor pekerjaan dan ekonomi.

"Kalau segala ini tidak diambil berat oleh SPR dan Kerajaan berkuasa, nampaknya Pakatan Rakyat dan juga pihak-pihak yang prihatin termasuk NGO, kami tidak ada jalan lain selain menuntut keadilan dengan cara berhimpun di jalan raya supaya kerajaan mengambil berat perkara ini,"jelas Tian yang juga merupakan Ahli Parlimen Batu.

0 ulasan: