PULAU PINANG - Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam dan kariah masjid di Pulau Pinang telah menganjurkan Gerakan Menutup Aurat Antarabangsa (GEMAR) bagi menggalakkan umat Islam menutup aurat serta menangani gejala maksiat yang kerap berlaku pada Hari Valentine.
“GEMAR yang digerakkan pada 2009 bertujuan menyedarkan umat Islam mengenai keperluan menjaga aurat dan membantah sambutan Hari Valentine dalam kalangan golongan muda Islam,” ujar Setiausaha Pertubuhan Menangani Gejala Sosial Malaysia, Asti Toba.
Antara NGO dan kariah masjid yang mengambil bahagian ialah Pertubuhan Menangani Gejala Sosial Malaysia, IKRAM Pulau Pinang, NISA’ Pulau Pinang, Kelab Remaja Lestari, Ikatan Persaudaraan Muslimah Pulau Pinang (SALIMAH), Aktivis Pengupayaan Insan (API) dan Komuniti Suara Kehidupan dan Kariah Masjid At Taqwa Bertam. Majlis pelancaran akan berlangsung di Masjid At Taqwa, Bertam dan akan dihadiri oleh barisan kepemimpinan NGO Islam yang bergerak aktif di sekitar wilayah utara tanah air.
“Antara acara yang akan dilakukan aktivis Islam ialah mengedarkan tudung percuma kepada masyarakat Islam dan mengedarkan risalah supaya menutup aurat.”
Asti berkata, GEMAR adalah platform terbaik untuk ahli NGO, pelajar universiti dan segelintir individu Melayu-Islam di negara ini yang prihatin dengan masalah gejala maksiat yang kerap dikaitkan dengan Hari Valentine.
“Golongan itu akan menggunakan peluang untuk mendekati umat Islam sambil menyampaikan mesej dakwah kepada pengunjung kedua-dua tempat tumpuan muda-mudi itu,” terangnya lagi.
Menurutnya, tinjauan mendapati Pantai Jerejak dan Hentian Rehat Pantai Bersih sering menjadi tumpuan umat Islam terutama remaja untuk menghabiskan waktu, dan pemandangan lelaki dan perempuan berdua-duaan adalah biasa di kawasan itu.
Kempen ini juga akan bergerak serentak di beberapa negara seperti Indonesia, United Kingdom, London, Hong Kong, Macau, Thailand dan Malaysia yang dicetuskan oleh aktivis di Jakarta, Indonesia, Herry Nurdi yang juga penulis dan presiden Teachers Working Group Indonesia.

0 ulasan:
Catat Ulasan