HALAMAN SANTAI

Selasa, 1 Januari 2013

Amanat Hadi: Jangan halang Hadi, kata Nik Aziz

ROSMIZA KASIM

Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat
  Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat 
 
KOTA BHARU - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menempelak sikap sesetengah pihak yang cuba menghalang hasrat Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mahu menjelaskan isu amanatnya menerusi televisyen.

Nik Aziz menyifatkan individu terbabit jahil dan dalam masa sama beliau menegaskan supaya Abdul Hadi diberi peluang menjelaskan perkara itu sebagaimana digembar-gemburkan kebelakangan ini.

Menurutnya, apabila Abdul Hadi meminta untuk kerajaan memberinya peluang bersiaran langsung selama satu jam dengan RTM dan TV3 bagi menjelaskan isu Amanat Haji Hadi sepatutnya peluang itu diberikan.

"Bila Hadi nak minta satu jam sahaja nak cakap dalam televisyen mesti beri kepada dia... pertama kerana peraturan Islam. Berilah peluang kepada kami untuk terangkan kebenaran.

"Ini berbelit-belit dan asyik membidas sahaja. Umno ni mengarut. Kenapa orang Umno yang Islam tidak menerima Islam. Ini kerana orang Islam tolak Islam dan ambil kebangsaan. Menjadi perpecahan," katanya kepada media semalam.

Beliau berkata demikian berikutan terdapatnya individu tertentu yang mempertikaikan hasrat Abdul Hadi di samping kenyataan tokoh agama, Abdullah Sa’amah tidak bersetuju pemimpin Pas itu muncul di televisyen bagai menjelaskan amanat dibuatnya pada tahun 1981 itu.

Sebelum itu beliau menerima dokumen Deklarasi Rakyat 2013 Rakyat Tuntut Royalti yang diserahkan Presiden Gabungan Profesional Menuntut Royalti, Pendaratan Minyak dan Gas ke Kelantan (R) Malaysia, Nazeri Deraman.

Sambil mempertahan hak Ahli Parlimen Marang itu, Nik Aziz juga meyakinkan semua pihak Abdul Hadi bukan seorang jahil dan sepatutnya beri laluan kepadanya jelaskan perkara sedang hangat diperkatakan.

Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan bersetuju dengan cadangan Abdul Hadi menyatakan pendiriannya terhadap isu yang didakwa menyebabkan umat Islam di negara ini berpecah-belah, lagipun rakyat boleh nilai menerusi siaran langsung.

Sabtu lalu, Abdul Hadi meminta diberi peluang secara langsung untuk menjelaskan itu dan bersedia bila-bila masa sahaja menghadirinya.

Dalam pada itu, Nik Aziz bersetuju untuk menjadikan tahun 2013 sebagai tahun tuntutan royalti lebih serius seperti yang dicadangkan NGO R dan perkara itu akan dibincangkan menerusi mesyuarat exco terdekat nanti.

Nik Aziz berkata, sekiranya wujud undang-undang yang menunjukkan Kelantan tidak berhak mendapat hak tuntutan itu sepatutnya undang-undang berkenaan digantikan dengan akta baru.

Tiada ulasan: