HALAMAN SANTAI

Khamis, 25 Julai 2013

Iklan tidak sopan dalam papan iklan elektronik

SM Mohamed Idris,

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang bertindak segera untuk menarik balik iklan yang dipaparkan oleh sebuah kelab malam di papan iklan elektronik yang terletak di Jalan Burma, Pulau Pinang.

Iklan di papan iklan elektronik itu memaparkan gambar wanita berpakaian yang mendedahkan tubuh mereka. Kandungan iklan itu termasuklah pengumuman persembahan oleh sebuah kumpulan muzik dan gambar ‘Hot Girls’. Pemaparan kepada awam wanita berpakaian yang  mendedahkan tubuh telah menjatuhkan martabat mereka dan gambaran stereotaip wanita.

Lebih buruk lagi kelab malam itu terletak di Lebuh Union yang merupakan sebahagian daripada tapak warisan dunia.

Iklan ini juga telah mencabuli Garis Panduan Penerbitan yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan yang menyatakan:

1)    Iklan bagi barangan atau perkhidmatan yang mungkin memudaratkan kepada ketenteraman awam, keselamatan, moral, mengejutkan pendapat awam, bertentangan kepada mana-mana undang-undang, menjejaskan kepentingan awam dan kepentingan negara adalah tidak dibenarkan;

2)    Iklan mengandungi sensitiviti agama, menjatuhkan maruah budaya atau cara hidup oleh perbezaan kaum dan mengancam nilai dan norma masyarakat Malaysia;

3)    Bagi gambar yang tidak berniat untuk mengiklankan pakaian dalam, hanya gambar di samping kolam dan pantai dibenarkan selagi gambar itu tidak mengghairahkan.

Menurut Garis Panduan bagi Papan Iklan Luar, iklan itu gagal untuk mematuhi garis panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan:

1)    Kandungan yang memaparkan gambar wanita atau lelaki berpakaian dalam atau menunjukkan aksi tidak sopan adalah tidak dibenarkan;

2)    Temanya mestilah sesuai dengan kandungan iklan dengan perkara yang ingin diiklankan. Kandungan yang mengeksploitasikan tubuh dan muka seseorang terutama sekali wanita dan tidak mempunyai kaitan dengan perkara yang ingin diiklankan adalah tidak dibenarkan. Begitu juga dengan elemen eksploitasi terhadap lelaki, kanak-kanak dan mereka yang kurang upaya juga tidak dibenarkan.

Kami menggesa pihak berkuasa yang berkenaan supaya mengambil tindakan segera dengan menarik balik iklan yang telah melanggar garis panduan itu. CAP juga menggesa Kerajaan supaya menggubal peraturan yang lebih lengkap bagi mengawal industri pengiklanan dan menguatkuasakannya.


(*) Presiden CAP

Tiada ulasan: