ALOR SETAR - Empat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam di negara ini mendesak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) segera campur tangan bagi menghentikan pergolakan yang berlaku di Mesir, yang menyaksikan berlaku pertumpahan darah sesama Islam.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, desakan perlu dibuat terhadap PBB agar Setiausaha Agungnya, Ban Ki Moon memanggil Majlis Keselamatan PBB untuk mengadakan mesyuarat tergempar.

“PBB wajar ambil tindakan serta merta untuk menghentikan keganasan dan pembunuhan beramai-ramai selain untuk memulihkan semula demokrasi di Mesir,” katanya.

Menurutnya, piagam itu mengizinkan PBB untuk mengambil tindakan tegas termasuk mengenakan sanksi dan tindakan ketenteraan untuk menghentikan pembunuhan beramai-ramai oleh tentera dan polis Mesir.

Pengerusi Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (Shura), Abdul Ghani Samsudin berkata, desakan wajar dikenakan terhadap Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC) dan Liga Arab untuk mengutuk dan menggantung keahlian Mesir daripada OIC dan Liga Arab, seperti yang dilakukan oleh Kesatuan Afrika.

“Kami juga menggesa kerajaan Malaysia dan Indonesia supaya mengecam pembunuhan beramai-ramai orang awam yang tidak berdosa oleh tentera Mesir dan mengambil inisiatif supaya PBB dan OIC menghentikan pembunuhan segera,” katanya.

Pengerusi Citizens International (CI), SM Mohamed Idris menyifatkan tindakan barbarik dan tidak berperikemanusian itu tidak boleh diterima sama sekali oleh komuniti antarabangsa.

“Kami mengecam media milik negara Mesir dan kumpulan anti Ikhwan Muslimin yang berterusan selama ini menghasut rakyat serta menganjurkan keganasan terhadap gerakan itu termasuk mereka yang menentang rampasan kuasa oleh tentera,” katanya.

Kordinator Universal Justice Network (UJN), Mohideen Abdul Kader mengutuk pembunuhan kejam terhadap penunjuk perasaan di Mesir dan Kaherah.

“Penunjuk perasaan itu hanya mahu menuntut pemulihan demokrasi dan mereka hanya berhimpun secara aman selama lebih lima minggu. Kegananasan tentera tidak mungkin berlaku tanpa restu Amerika Syarikat,” katanya.

NGO terbabit menyeru rakyat Mesir bangkit dan menentang regim diktator tentera Mesir dan menolak keganasan yang dimulakan oleh tentera.

Mereka turut mengajak seluruh NGO dan masyarakat sivil mengadakan demonstrasi besar-besaran di kedutaan Mesir untuk mendesak agar pembunuhan dihentikan dan hak demokrasi rakyat Mesir dipulihkan semula.