HALAMAN SANTAI

Ahad, 18 September 2016

Di sebalik politik perkauman BN, sudah matikah Gagasan 1Malaysia?

lks_adakah1msudahmati_

Oleh Lim Kit Siang


Saya ingin ajukan satu persoalan kepada rakyat Malaysia untuk difikirkan sempena memperingati Hari Malaysia ke-53 : adakah Gagasan 1Malaysia Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sudah mati atau masih hidup?

Jika Gagasan 1Malaysia Najib itu masih hidup, mengapa pemimpin-pemimpin UMNO menerajui kempen nasional dalam mencambah kebencian serta memainkan politik perkauman dan agama, contoh terbaru adalah Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mendakwa parti politik baru Tun Mahathir Mohamad adalah proksi DAP untuk memecah-belahkan masyarakat Melayu – sama seperti PKR dan Parti Amanah Negara?

DAP berkongsi platform yang sama dengan Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman dan pemimpin veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah ketika beliau mengetuai Parti Semangat 46 pada pilihan raya umum tahun 1990 bagi membawa perubahan pilihan raya dan institusi negara.

Adakah Tunku dan Razaleigh pengkhianat masyarakat Melayu atau sebenarnya perintis kepada semangat nasionalisme dan patriotisme di Malaysia?

Adakah survival Najib dan UMNO adalah sebab yang utuh bagi mengabaikan Gagasan 1Malaysia dan menggalakkan kebencian serta permusuhan kaum dan agama yang berdasarkan fitnah dan pembohongan?

Jika Gagasan 1Malaysia itu bertujuan untuk mewujudkan sebuah negara di mana setiap warga melihat dirinya sebagai rakyat Malaysia dahulu; manakala kaum, agama atau kawasannya perkara kedua, mengapa UMNO dan Barisan Nasional bertindak melulu dan secara tidak bertanggungjawab mengkhianati prinsip-prinsip asas Perlembagaan Merdeka 1957 dan Perjanjian Malaysia 1963? Perlembagaan itu jelas menyatakan bahawa Malaysia adalah sebuah negara sekular dengan Islam sebagai agama rasmi.

Tindakan UMNO dan Barisan Nasional itu bukan sahaja mengabaikan keharmonian kaum dan agama, tetapi turut mengancam asas kepada pembentukan Persekutuan Malaysia pada tahun 1963.

Adakah Majlis Tertinggi Barisan Nasional sanggup mewujudkan satu dasar bersama, melainkan jika terdapat persetujuan sebulat suara dari semua parti komponen Barisan Nasional termasuk Sabah dan Sarawak, bahawa kerajaan Barisan Nasional tidak akan menyokong mana-mana usul Parlimen, sama ada rasmi atau persendirian, yang melemahkan asas pembentukan Malaysia seperti rang undang-undang hudud dalam mesyuarat Parlimen pada Mei lalu?

Memperingati Hari Malaysia akan menjadi sia-sia jika persoalan berhubung apa yang berlaku kepada Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai Pendatang Asing Tanpa Izin Sabah (RCIIIS) tidak dibangkitkan kerana ia juga merupakan perkara penting kepada sama ada Gagasan 1Malaysia Najib telah mati atau masih hidup.

RCIIIS ditubuhkan pada Februari 2012, dan walaupun pada mulanya ia diberi 18 bulan untuk menyelesaikan kajiannya, laporannya dikemukakan kepada kerajaan Persekutuan lebih dari dua tahun kemudian iaitu pada Mei 2014. Namun begitu, laporan tersebut hanya dibuat umum lebih dari enam bulan selepas itu, iaitu pada Disember 2014.

Sejak tarikh tersebut, Laporan RCIIIS seperti telah dilupakan sama sekali oleh Putrajaya, seolah-olah ia telah dibuang ke dalam bakul sampah. Sedangkan, pembentukan Jawatankuasa Tetap Laporan RCIIS itu dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Menteri Sabah dan Pengerusi PBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan untuk mengkaji penemuan serta menyusun cadangannya.

Mampukah Perdana Menteri memberi penjelasan penuh di Parlimen bulan hadapan berhubung apa yang akan dilakukan Putrajaya dengan Laporan RCIIIS itu, terutama berkenaan ‘mimpi ngeri’ pendatang haram yang telah menghantui rakyat Sabah selama lebih dua generasi?

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Joseph Kurup hari ini mengingatkan rakyat Malaysia agar tidak terlibat dengan sebarang aktiviti yang mampu mengancam keharmonian negara serta mencemarkan imej negara di mata dunia seperti perhimpunan tanpa permit.

Kurup jelas merujuk kepada perhimpunan Bersih 5 yang diumumkan akan diadakan di Kuala Lumpur pada 19 November nanti.

Bersih 5 tidak bertujuan untuk memusnahkan, tetapi sebenarnya menyelamatkan imej Malaysia pada peringkat antarabangsa.

Tidak ada perkara yang lebih merosakkan imej Malaysia selain dua perkara: Pertama, penglibatan dalam konspirasi pengubahan wang haram antarabangsa sehingga Malaysia dipandang hina sebagai kleptokrasi global, dan kedua, menerima penghinaan di atas sikap acuh tak acuh seperti kleptokrasi itu perkara paling biasa di dunia – dalam kes ini Kabinet Malaysia.

Amat mengejutkan apabila Kurup kelihatannya agak gembira dengan menjadi Menteri di sebuah negara yang dikaitkan dengan kleptokrasi global.

Jika tidak, apa cadangan Kurup agar rakyat Malaysia dapat memulihkan imej negara yang semakin musnah?

*Lim Kit Siang merupakan Ahli Parlimen Gelang Patah merangkap Ketua Parlimen DAP


Tiada ulasan: