HALAMAN SANTAI

Jumaat, 16 September 2016

Elak sifat 'abang long' dalam kesepakatan

1 lawan 1
Keratan akhbar Sinar Harian semalam.


ALOR SETAR - Kesepakatan pembangkang untuk mewujudkan pertandingan satu lawan satu menentang BN pada PRU14 mestilah bebas bersifat ‘abang long’.

 Pengerusi Amanah Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh berkata, perkara itu perlu dielakkan sekiranya pembangkang benar-benar ingin memperjuangkan hak rakyat.

 “Pertandingan satu lawan satu memang patut berlaku jika pembangkang serius untuk menumbangkan BN yang terdiri daripada gabungan 14 parti komponen.

 “Kesepakatan itu mestilah ikhlas dan ada sifat tolak ansur tanpa ada perasaan satu parti lebih dominan yang bersifat ‘abang long’ seperti yang berlaku dalam Pakatan Rakyat (PR) sedikit masa lalu,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

 Menurutnya, kesan daripada sifat itu juga menyebabkan rakyat yang memberi kepercayaan kepada PR untuk mentadbir akhirnya dihampakan.

 “Kedah telah menerajui kesepakatan ini dengan melantik Ketua Setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan Kedah pada minggu lalu. Kita akan memperkasakan pakatan ini secara rasmi dan tak rasmi melalui mesyuarat, perjumpaan dan aktiviti-aktiviti.

 “Pakatan Harapan Kedah juga akan membuka pintu seluas-luasnya kepada sesiapa sahaja dalam usaha untuk memperkuatkan pembangkang,” katanya.

 Bekas Exco Kedah itu juga berkata, segala rundingan dengan mana-mana parti komponen lain akan dibincangkan dan diputuskan terlebih dahulu dalam Pakatan Harapan.

 “Kesepakatan ini bukan sahaja bertujuan untuk pilihan raya semata-mata, tetapi akan diperkemas lagi dari masa ke semasa jika diberi kepercayaan oleh rakyat untuk memerintah nanti,” katanya.


Tiada ulasan: