HALAMAN SANTAI

Isnin, 19 September 2016

Ikut hati, kami mahu kebumi baba di Malaysia, kata anak Haron Din

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Anak perempuan kepada Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din, memberitahu jika diikutkan hatinya, dia mahu mengebumikan bapanya di Malaysia bukannya di San Francisco, Amerika Syarikat (AS).
 
Huda Haron berkata keputusan mengebumikan jenazah bapanya di negara orang, sangat berat untuk dilakukan.
 
"Hatta jika tanya hati kecil saya yang memang mementingkan diri sendiri, tentunya saya mahu baba dekat bersama-sama kita. Biar ingatan tidak padam sampai bila-bila kerana batu tandanya dekat dengan kita. 
 
"Biar kita mampu ziarah hari-hari. Biar semua yang lain dapat ziarah berkali-kali. Biar ada depan mata. Itu kehendak kita..dan saya rasa..juga kehendak ramai lagi yang sayangkan baba.
 
"Tapi, adakah keputusan itu tepat untuk baba? Menyegerakan pengendalian dan penyelenggaraan jenazah juga dituntut syara’. Kita rasa baba milik kita, sebenarnya baba milik Allah," luah Huda menerusi laman sosial Facebooknya, pagi ini.
 
Menulis dari Campbell, California, Huda berkata, keputusan itu adalah ketentuan Allah yang tidak dapat disanggah dan bertindak di luar batas insani dan kasih sayang.
 
“Tiga perkara yang sentiasa Allah jadikan teka teki penuh hikmah dalam bab kematian kita, iaitu pertama, bila; kedua, di mana dan ketiga, bagaimana (cara kematian kita).
 
“Kami lima beradik termasuk mama sepakat, bulat dan tekad untuk menyemadikan baba (Allahyarham) di sini. Banyak kali kuliah dan pesanan baba - ‘perlu disimpan di mana tempat malaikat datang menjemputnya’. Walaupun ramai yang telah menghulurkan bantuan untuk urusan dibawa pulang, tetapi jangka masa tujuh hari (tempoh bawa balik jenazah) suatu yang tidak dapat kami terima untuk biarkan baba tanpa penghormatan dan kemuliaan yang sepatutnya,” katanya.
 
Huda turut mengimbas kembali pendirian Allahyarham ketika hidupnya tentang urusan pengendalian jenazah.
 
“Semasa hayat baba, teringat suatu ketika, nak bawa mayat dari Kuala Lumpur ke Perlis pun baba takkan izin. Inikan pula berjam-jam, malah berhari-hari dalam peti ais. Selain itu perlu melalui embalm (rawatan mayat) yang pastinya menyeksakan segenap urat saraf. 
 
"Tak sakit? Siapa kata tak sakit? Siapa berani jamin kita tak merasa sakit ketika itu? Tiada siapa yang melalui ajal maut dan kembali menceritakan bahawa jenazah tidak merasai sakit,” katanya lagi.
 
Bagaimanapun Huda turut menyatakan penghargaan dan terima kasih daripada keluarganya kepada semua pihak termasuk kerajaan yang berusaha untuk membantu membawa pulang jenazah ke tanah air.
 
“Kami menghargai usaha pihak kerajaan terutama Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang bersusah payah membantu mengaturkan pesawat persendirian. Terima kasih. Sangat-sangat kami hargai dan tersentuh. 
 
"Kami sekeluarga merakamkan penghargaan atas keprihatinan Datuk Seri yang bersusah payah bertanya khabar dan menelefon sendiri mama. Juga berkali-kali bercakap sendiri dengan Balin jarak jauh melalui telefon,” katanya lagi.
 
Allahyarham Haron Din meninggal dunia sekitar 10.10 pagi, Jumaat lalu akibat komplikasi jantung.
 
Allahyarham sebelum itu berlepas ke AS sejak beberapa hari lalu untuk mendapatkan rawatan lanjut berhubung masalah jantung yang dihidapinya. 
 
Pada Mac lalu, beliau dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) selepas mengadu sakit dada. 
 
Beliau sebelum ini beliau pernah menjalani pembedahan pintasan jantung di Hospital Stanford, San Francisco, AS pada 2 April 2012.
 
 
 

Tiada ulasan: