HALAMAN SANTAI

Sabtu, 17 September 2016

Ilmu beliau di dada, bukan di helaian buku

Ilmu beliau di dada, bukan di helaian buku
Syed Abdul Kadir ketika merakamkan gambar kenangan bersama Allahyarham Haron Din kira-kira dua bulan lalu. - Facebook Ustaz Syed Abdul Kadir Aljoofre 
 
 
PENDAKWAH terkenal, Ustaz Syed Abdul Kadir Aljoofre yang berkhidmat dengan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr Haron Din sejak tujuh tahun lalu memberitahu Allahyarham telah memberi bayangan beberapa kali yang beliau akan pergi menghadap Illahi.

Namun beliau tidak menjelaskan secara terperinci bayangan yang dimaksudkan itu.

Menurut Syed Abdul Kadir, saat mendapat panggilan telefon daripada menantu Allahyarham ketika sedang bersiaran langsung di TV, jantungnya berdegup kencang dan tidak putus berdoa kepada ALLAH SWT.

“Kesedihan yang tidak tergambar dengan kata-kata. Namun kita mengetahui ketentuan ALLAH adalah yang terbaik dan meredai pemergian beliau. Kita milik ALLAH dan kepada ALLAH jualah kita kembali.

“Saya membantu dan berkhidmat dengan Almarhum sejak tujuh tahun lalu...saat manis dalam hidup saya.
Saya belajar ribuan perkara daripada beliau. Dapat duduk lutut bertemu lutut berdua dengan beliau sangat selalu. Saya pernah dimarahi oleh beliau. Biasa dimanjakan,” ceritanya.

Malam kelmarin, khabar berita Haron Din sedang kritikal di Hospital Stanford University, Amerika Syarikat (AS) tersebar.

Menurutnya, memang  jarang meminta untuk merakam gambar namun kira-kira dua bulan lalu ketika berziarah, terdetik di hatinya untuk bergambar dengan Allahyarham dan tanpa disangka itu adalah gambar terakhir mereka bersama.

“Selepas pertemuan itu, ada dua kali lagi kami duduk berbincang urusan ummah. Beliau berulang kali memberi ‘hints’ yang beliau akan pergi. Sebelum terbang ke Amerika Syarikat beliau pun ada bercakap dengan saya,” katanya.

Menyifatkan Allahyarham sebagai seorang yang sangat tegas dengan prinsip, Syed Abdul Kadir berkata, pimpinan Pas itu begitu menepati masa serta murah dengan senyuman.

“Ilmunya tiada yang dapat menafikan. Saya lihat sendiri setiap kali kami berbincang, ayat-ayat al-Quran, hadis-hadis Nabi, dan kata-kata para ulama dalam bahasa Arab semuanya lancar di lidahnya.

“Walaupun beliau minta saya mengkaji sesuatu isu lalu saya kaji berhari-hari kemudian dibentangkan kepada beliau, tetap saya dapati seolah-olah beliau lebih banyak mengkaji dan berhujah dengan hujah-hujah yang kemas. Benarlah ilmu beliau di dada, bukan di helaian buku seperti kita,” katanya.

Syed Abdul Kadir juga menceritakan bagaimana reaksi Allahyarham ketika disampaikan komen negatif atau fitnah berkait dirinya yang tersebar.

“Apabila berbicara tentang Rasulullah matanya berkaca. Tergambar kerinduan beliau yang amat kepada Rasul yang biasa beliau temui dalam mimpi,” katanya.

Malah Syed Abdul Kadir juga akui tidak dapat menahan air matanya daripada gugur saat menatap gambar Allahyarham.

“Masih belum mampu saya hentikan. Sungguh saya merindui beliau. Moga Allahyarham telah berada di kalangan syuhada dan solihin,” katanya.


Tiada ulasan: