HALAMAN SANTAI

Jumaat, 16 September 2016

KL di tangga 19 bandaraya paling mampan

SINAR HARIAN


Kuala Lumpur


KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak gembira dengan kedudukan Kuala Lumpur di ranking ke-19 sebagai bandaraya paling mampan dari segi ekonomi di dunia oleh firma rekaan dan konsultasi global, Arcadis.

Perdana menteri berkata pengiktirafan itu adalah berdasarkan prestasi kukuh negara dalam pelbagai sektor dan projek.

"Ini adalah pengiktirafan terhadap usaha kolektif kita untuk mentransformasi KL untuk menjadi hab ekonomi menarik, mampan dan bertaraf dunia," katanya dalam catatan di Twitter beliau.

Kuala Lumpur mengatasi Washington yang berada di ranking ke-21, Melbourne (ke-26) dan Tokyo (ke-28).

Laporan itu juga menyatakan bagi rantau Asia, Kuala Lumpur menduduki ranking ke-7 keseluruhan, ke-8 dalam sub-indeks rakyat, ke-15 bagi planet dan ke-5 bagi sub-indeks keuntungan.

Arcadis dalam laporannya bertajuk "Sustainable Cities Index 2016: Putting people at the heart of city sustainability" (Indeks Bandaraya Mampan 2016:

Meletakkan rakyat sebagai teras kemampanan bandaraya) menyebut bahawa Program Transformasi Ekonomi Malaysia (ETP) dikenal pasti sebagai enjin pertumbuhan dalam mencapai visi negara dan sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi secara berterusan di seluruh negara.

"Kerajaan telah menetapkan sasaran bagi mentransformasi Kuala Lumpur untuk menjadi bandaraya bertaraf dunia menjelang 2020, sesuatu yang amat baik bagi penduduk dan juga pelancong.

"Projek-projek besar spesifik sedang dilaksanakan untuk meningkatkan ranking  Kuala Lumpur, meliputi daripada Menara 118 sehingga Kereta Api Berkelajuan Tinggi KL-Singapura dan Tun Razak Exchange," kata Arcadis dalam laporan penuhnya di  www.arcadis.com.

Indeks Bandaraya Mampan Arcadis 2016 memberi penarafan ke atas 100 bandaraya global berdasarkan tiga dimensi atau teras, iaitu kemampanan: Rakyat, Planet dan Keuntungan yang mewakili kemampanan sosial, alam sekitar dan ekonomi. - Bernama


Tiada ulasan: