HALAMAN SANTAI

Ahad, 18 September 2016

Nelayan hubungi majikan minta wang tebusan RM180,000

 
Majikan menerima panggilan daripada Masurin meminta wang tebusan dan isteri seorang mangsa culik itu diberi masa sehingga esok untuk menyerahkan 2 juta peso.


wang-tebusan


TAWAU: Majikan kepada 3 warga Filipina yang diculik 7 lelaki bersenjata di perairan Pulau Pom Pom, Semporna, minggu lalu, menerima panggilan meminta wang tebusan bernilai 2 juta peso atau RM180,000.

Karim Musappa, 30, berkata beliau menerima panggilan daripada seorang mangsa culik Masurin, 50-an, pada Isnin lalu memaklumkan permintaan wang tebusan oleh penculik.

“Saya terima panggilan pada Hari Raya Haji pada pukul 7.55 pagi…penculik menjadikan mangsa (Masurin) sebagai orang tengah untuk berkomunikasi dan meminta wang tebusan,” katanya ketika ditemui pemberita semalam.

Beliau membuat laporan polis sejurus menerima panggilan telefon itu.

Karim berkata, isteri kepada seorang mangsa culik itu turut menerima panggilan telefon, baru-baru ini, yang memberi masa sehingga 19 September ini untuk menyerahkan wang tebusan.

“Sekiranya gagal, kepala mangsa akan dipotong,” katanya sambil menambah semua mangsa dipercayai berada di Jolo, selatan Filipina.

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Abdul Rashid Harun mengesahkan pengadu menerima panggilan telefon itu, namun enggan mengulas butirannya kerana polis masih menyiasat kesahihan panggilan telefon berkenaan.

Abdul Rashid berkata, difahamkan semua mangsa dalam keadaan selamat dan polis akan meneruskan siasatan.

Tiga nelayan Filipina yang diculik dari kapal Putera itu dikenali sebagai Loloi Alpin, 30, Sami, 30-an, dan Masurin, 50-an, tetapi mereka memiliki dokumen IMM13 dan Surat Banci daripada Pasukan Petugas Khas.

Mereka diculik 7 lelaki bersenjata api ketika menangkap ikan bersama 13 anak kapal di perairan itu kira-kira jam 10.40 malam 10 September lalu.

Tiada ulasan: