HALAMAN SANTAI

Sabtu, 17 September 2016

Pakatan Harapan Sambut Baik Persetujuan PAS Formula 1 Lawan 1







Pakatan Harapan (PH) yang diterajui PKR, DAP dan PAN menyambut positif persetujuan PAS berkenaan formula satu lawan satu bagi menghadapi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14).

Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Zairil Khir Johari berkata kesemua parti pembangkang tidak memerlukan gabungan rasmi untuk merealisasikan hasrat itu.

“Sebaik-baiknya satu lawan satu itu perlu dicapai oleh pembangkang. Kita kena jelas apa matlamat pembangkang.

“Jika kita mahu merealisasikan hasrat rakyat untuk mengubah kerajaan dan menumbangkan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, maka kerjasama diperlukan. Itu wajib,” katanya.

Pandangan sama turut dipersetujui Naib Presiden PKR, Tian Chua yang berkata, parti pembangkang perlu mendapatkan persetujuan bekerjasama walaupun tidak berada dalam satu pakatan.

“Kalau dapat bergabung di bawah satu pakatan, lagi bagus. Tetapi jika tidak, sekurang-kurangnya kita perlu dapat persetujuan untuk kerjasama satu lawan satu,” katanya.

Beliau berkata, konsep satu lawan satu telah diamalkan oleh pembangkang selama ini dan berjaya memberi kemenangan besar.

“Saya yakin pembangkang akan bergabung semula pada PRU14 nanti untuk mencapai hasrat satu lawan satu,” katanya.

Tian Chua berkata, PKR juga sedia memainkan peranan untuk menyatukan kerjasama antara parti-parti pembangkang.

“Kalau boleh bukan kita jangan hanya fokus pada kerusi Parlimen, malah kerusi Dun juga,” katanya.

Timbalan Presiden PAN, Salahuddin Ayub berkata, formula satu lawan satu adalah cadangan praktikal dan mengesyorkan kesemua parti pembangkang kembali bersama di meja rundingan.

“Sebelum mencapai kata sepakat tentang siapa bertanding, semua parti pembangkang kena segera bersetuju untuk ke meja perundingan. Selepas itu baru kita boleh berbincang mengenai masalah pembahagian kerusi dan sebagainya.

“Tetapi, syaratnya ialah semua parti pembangkang kena ada satu matlamat yang sama dan kita perlu berganding untuk capai matlamat itu,” katanya.

Menurutnya, hanya kesediaan duduk bersama di meja rundingan akan dapat menyelesaikan masalah pembahagian kerusi yang menjadi pertikaian sebelum ini.

“Dalam soal pembahagian kerusi, kita kena letakkan calon boleh menang dan calon yang penting untuk negara.

“Kita juga mesti sepakat memberikan laluan kepada parti-parti lain supaya formula satu lawan satu itu boleh tercapai,” katanya.

Menurutnya, bagi memastikan kejayaan formula itu, semua parti pembangkang perlu terbuka dan mengetepikan agenda parti masing-masing.

Ketua Dewan Ulamak PAS, Datuk Dr Mahfodz Mohamed berkata, PAS pada asasnya setuju dengan konsep satu lawan satu bagaimanapun tidak pasti sejauh mana strategi tersebut mampu direalisasikan.

“Saya ingat semua pembangkang bersetuju dan berhasrat supaya tak ada tiga penjuru. Memang kita harapkan untuk jatuhkan BN dengan satu lawan satu.

“Jika berlaku begitu (satu lawan satu) kemungkinan besar (pembangkang) akan menang. Tetapi sama ada ia akan berlaku atau tidak, itu Wallahualam,” katanya.

Mengulas lanjut, Mahfodz berkata, setakat ini PAS tidak mengadakan perbincangan mengenai perkara itu dengan mana-mana parti pembangkang yang lain.

“Cuma yang kita dah ada kerjasama ialah dengan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) dan NGO-NGO (pertubuhan bukan kerajaan). Apa yang pasti, kita tak akan buat hubungan dengan DAP dan PAN.

“Yang lain-lain, termasuk Bersatu itu ada kemungkinanlah. Tetapi setakat ini lah, tak tahulah (akan datang) sebab politik ini semua boleh kalau dah sampai masanya,” katanya.

Mengenai halangan untuk bekerjasama dengan DAP dan PAN, beliau berkata, PAS menyerahkan kepada kebijaksanaan PKR untuk menentukan memandangkan parti itu mempunyai hubungan dengan kedua-dua belah pihak.

“Kalau ada keperluan kita akan bincang secara dalaman dan dengan PKR,” katanya.

Tiga hari lepas, Malaysia Gazzete melaporkan PAS mungkin bersetuju bergabung dengan parti pembangkang lain bagi menghadapi BN pada PRU 14.

Sumber dalaman PAS yang tidak dinamakan memberitahu, parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu bersetuju untuk bergabung hanya untuk kerusi Parlimen sahaja sementara kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) masih lagi dalam rundingan tidak rasmi.

“Matlamat semua pembangkang adalah untuk menukar kerajaan BN dan untuk mencapai matlamat tersebut, pembangkang mestilah memenangi semua kerusi Parlimen.

“Jika perancangan berjalan lancar, maka semua kerusi parlimen yang dipertandingkan di seluruh negara akan menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara BN dan mana-mana parti pembangkang.

“Kalau tak buat begitu, maka susahlah pembangkang hendak jatuhkan kerajaan BN dan sampai bila pun tidak akan berjaya jika berlaku pertandingan tiga penjuru,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette.

Jelasnya, walaupun tidak diumumkan secara rasmi, tetapi percaturan itu dilihat sangat berkesan dan pasti akan memberi tekanan kepada kerajaan BN.

“Pengalaman Pilihan Raya Negeri Sarawak dan Pilihan Raya Kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar sudah cukup menjadi pengajaran kepada parti-parti pembangkang.

“Melalui persetujuan ini, kedudukan parti pembangkang akan lebih kuat dan memudahkan rakyat untuk membuat pilihan,” ujarnya.

Mengenai pembahagian kerusi, katanya, PAS akan tetap mempertahankan kerusi sedia ada manakala pembangkang lain akan membuat pembahagian mengikut persetujuan bersama.

“Pada dasarnya, PAS bersetuju untuk bergabung dan yakin cara itu yang terbaik untuk menewaskan BN nanti pada PRU ke-14.

“Kerusi DUN pula, kemungkinan syarat yang dikenakan PAS adalah pembangkang lain tidak boleh bertanding di Kelantan kerana mahukan negeri itu terus kekal di bawah pemerintahan PAS.

“Begitu juga dengan Pulau Pinang dan Selangor yang akan dikekalkan seperti mana hari ini,” katanya.

Tiada ulasan: