HALAMAN SANTAI

Sabtu, 17 September 2016

Perlu wujud tribunal selesai kes rebut jaga dan tukar agama anak bukan Islam

Oleh Zeanaaima Mohd Yusof
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Kerajaan Persekutuan perlu menimbang secara serius cadangan penubuhan tribunal atau lembaga bagi menguruskan kes hak penjagaan serta status agama anak-anak pasangan bukan Islam, berbanding membawanya ke Mahkamah Sivil ataupun Mahkamah Syariah.
 
Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, tribunal atau lembaga itu akan menguruskan pertikaian berikut secara kekeluargaan dan tidak secara formal.
 
Dengan cara itu, kes-kes mambabitkan hak penjagaan anak serta status agama anak-anak akan mudah diselesaikan dan tidak memakan masa bertahun-tahun seperti kebanyakkan kes yang berlaku ketika ini, ujar Zainul.
 
"Dalam proses mediasi (usaha pendamaian), Suluh atau tribunal ataupun lembaga, ia boleh dibuat secara tertutup. Lebih tidak formal, lebih kepada perbincangan. 
 
"Apa sebenarnya 'kehendak' pihak-pihak (yang bertikai) berbanding dengan apa 'hak' pihak-pihak (yang bertikai). Apakah 'keperluan' pihak-pihak (yang bertikai) pada masa akan datang berbanding dengan apa 'dalam undang-undang saya perlu pertahankan hak saya'.
 
"Saya percaya prinsip-prinsip sebegitu akan redakan dilema atau polemik (kes-kes) sebegini," ujarnya ketika ditemubual secara eksklusif Antarapos, baru-baru ini.
 
Zainul berkata, percanggahan bidang kuasa antara Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah menyaksikan banyak pasangan bukan Islam yang bercerai dan salah seorang daripada mereka memeluk agama Islam, terperangkap dalam perundangan negara.
 
Ini kerana mereka perlu membubarkan perkahwinan terlebih dahulu, tetapi tidak dapat berbuat demikian kerana seorang daripadanya terikat dengan sistem Mahkamah Sivil sementara pasangannya berada di bawah kuasa Mahkamah Syariah.
 
Kes ini semakin rumit jika ia melibatkan anak-anak yang ditukar agamanya kepada Islam oleh ibu atau bapanya secara unileteral (oleh satu pihak sahaja), seperti yang berlaku dalam kes Indira Ghandi dan bekas suaminya, Mohd Ridzuan Abdullah (K Patmanathan).
 
Ridzuan selepas memeluk Islam bertindak menukar agama tiga anaknya tanpa persetujuan Indira.
 
Indira membantah tindakan itu dan membawa kes ini ke muka pengadilan, namun selepas memasuki tahun ketujuh, kes ini belum menemui jalan penyelesaian.
 
Justeru, Zainul berkata dengan adanya tribunal atau lembaga, pertikaian Indira-Ridzuan dan banyak lagi pasangan lain mungkin boleh diselesaikan dengan berkesan.
 
"Kalau pergi ke mahkamah, akan ada formaliti, ada media yang akan mensensasikan isu-isu sebegini. Jadi pihak ketiga (tribunal/lembaga) ini akan cuba selesaikan atas prinsip mediasi atau suluh, secara baik.
 
"Mungkin perlu ada wakil dari Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah dan lantik seorang pengerusi untuk kendalikan prosiding secara tidak tertutup, secara kekeluargaan kerana ia melibatkan keluarga," jelas Zainul.
 
Zainul berkata, cadangan untuk mewujudkan tribunal atau lembaga ini sudah dipanjangkan kepada beberap orang menteri dan timbalan menteri dan setakat ini reaksi balas yang diperolehi adalah positif.
 
Pengamal undang-undang ini berkata, untuk menjadikan tribunal atau lembaga ini sah dan berkredibiliti, mungkin perlu digubal udang-undang yang memperincikan klausa dimana kes-kes sebegini perlu dirujuk kepada pihak ketiga (tribunal/lembaga).
 
 

Tiada ulasan: