HALAMAN SANTAI

Jumaat, 16 September 2016

SPR berhak usul penamaan semula kerusi Parlimen, DUN - Wan Ahmad

Oleh Nur Atiqah Abd Samad
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhak mengusulkan cadangan penamaan semula 12 kerusi Parlimen dan 34 kerusi DUN di seluruh negara, demikian menurut bekas timbalan pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar.
 
Ujarnya tindakan badan itu mengikut perlembagaan yang telus untuk melakukan penukaran berdasarkan kesesuaian penambahan kawasan dalam sesebuah DUN mahupun Parlimen, sekaligus menukar nama tempat tersebut.
 
"Dalam persempadanan semula ini terpulang kepada SPR sama ada nak tambah kawasan atau tak, kalau tak tambah kawasan nak ubah sempadan ke, nak tukar nama-nama kawasan DUN, Parlimen itu dibawah kuasa yang dibenarkan undang-undang atas sebab tertentu.     
   
"Banyak sebab apabila sempadan tu dah bertukar, kadang-kadang apabila sempadan dah tukar (dan) nama asal tu bergantung kepada sesuatu kawasan sejarah mengundi dan sejarah tu dah dikeluarkan daripada kawasan DUN yang asal.
 
"Maka nama lama itu dah tak sesuai lagi, terpaksa ditukar dengan nama baru yang dicadang SPR," katanya ketika dihubungi Antarapos.
 
Semalam SPR memberitahu perkara tersebut melalui satu notis yang diterbitkan akhbar berbahasa Inggeris New Straits Times.
 
Penamaan semula itu dicadang hanya membabitkan nama kerusi dan bukannya jumlah kerusi, sama ada Persekutuan atau negeri.
 
Negeri yang terlibat adalah Selangor (lima kerusi), diikuti tiga kerusi di Perak, masing-masing satu di Kedah, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Johor.
 
Malah ujar Wan Ahmad, sekiranya pengundi mahupun wakil rakyat di kawasan terlibat tidak setuju dengan cadangan tersebut, mereka boleh menulis secara rasmi kepada SPR dengan menyatakan alasan yang munasabah.  
 
"Ini satu urusan yang amat telus, perkara (perubahan) ini akan dipamerkan selama sebulan untuk disemak setiap mereka yang terlibat dalam kawasan berkenaan. Mereka mempunyai masa satu bulan untuk menyemak kawasan masing-masing sebab (mengikut) undang-undang mereka berhak membuat bantahan.
 
"Rakyat diberi peluang untuk menyatakan bantahan melalui cara yang betul dengan menulis surat kepada SPR melalui pengarah pilihan raya negeri masing-masing. 
 
"Jadi mana-mana pihak tak perlu risau, jika ada perkara yang tak setuju maka mereka boleh buat tuntutan untuk membantah. Dengan menyatakan kenapa mereka tak bersetuju dengan memberi alasan/justifikasi dan sebab-sebab yang tak munasabah," katanya lagi.
 
Tambah beliau bantahan ini adalah proses undang-undang biasa di mana perlembagaan memberi hak kepada mereka yang mahu mengemukakan bantahan secara rasmi.
 
Antara pihak yang dibenarkan adalah, kerajaan negeri, kerajaan tempatan (Pihak Berkuasa Tempatan, PBT) dan pengundi berdaftar.
 
Ketika ditanya adakah penukaran ini boleh menimbulkan kekeliruan kepada pengundi, ujar Wan Omar perkara ini tidak akan mengelirukan mana-mana pihak, walaupun ditukar nama tetapi masih menggunakan kod yang sama.
 
"Tidak sebab setiap kawasan pilihan raya tu ada kod N berapa, P berapa. PDM pula berapa, ada kod masing-masing dan tak keliru. 
 
"Nama lama dimansuhkan dan diganti nama baru sebab tak ada melibatkan pertambahan kerusi, jadi kalau N5 tu dulu nama A katakan sekarang jadi nama B. N5 juga kod dia, tak keliru," jelas beliau
 
 

Tiada ulasan: