HALAMAN SANTAI

Ahad, 18 September 2016

Tak perlu hantar pelajar ke luar negara, kata Rafizi

Alyaa Azhar


Berbilion ringgit dana yang dibelanjakan kerajaan bagi menghantar pelajar ke luar negara sebaliknya perlu dilaburkan dalam universiti dan institut pengajian awam tempatan, kata Anggota Parlimen Pandan Rafizi Ramli.

Beliau yang juga setiausaha agung PKR berkata, cadangan tersebut memandangkan kekangan kewangan yang dihadapi oleh institusi pendidikan tempatan buat masa sekarang.

"Saya rasa sistem biasiswa tempatan tidak lagi terpakai. Saya tidak nampak keperluan untuk menghantar pelajar ke luar negara untuk mengikuti kursus yang boleh dipelajari di sini, sebenarnya, lebih baik.

"Kos (untuk menghantar pelajar ke luar negara) adalah terlalu tinggi," katanya dalam ucapan penggulungan di Kongres Mahasiswa Nasional PKR di Ampang hari ini.

Kira-kira RM2 bilion hingga RM3 bilion dibelanjakan oleh kerajaan pada setiap tahun untuk menghantar kurang daripada 10,000 pelajar di luar negara, jelasnya.

Bagaimanapun, Rafizi mengakui beliau sendiri mendapat manfaat daripada pendidikan luar negara setelah menamatkan ijazah kejuruteraan elektrik di Universiti of Leeds, United Kingdom.

Namun, Rafizi percaya ada sedikit perbezaan jika beliau menyambung pengajian di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Tambah Rafizi, lebih baik menghantar pelajar cemerlang ke universiti-universiti awam tempatan kerana mereka yang dihantar ke luar negara tidak boleh menyerlahkan potensi sepenuhnya.

"Apabila mereka dihantar ke universiti biasa (luar negara), keupayaan untuk menyumbang terhad. Mereka mungkin berfikir dua kali untuk bercakap dengan orang putih dengan akhirnya, mereka sekadar berbincang sesama sendiri (rakyat Malaysia).

"Jika mereka ditempatkan di universiti tempatan, mereka boleh membantu dalam memperkaya sistem pendidikan ke arah yang lebih baik, yang lebih tinggi," kata Rafizi.




Tiada ulasan: