HALAMAN SANTAI

Sabtu, 17 September 2016

'The Lepak Game' jalin perpaduan pelbagai kaum

Anthea Yap, Astro Awani
'The Lepak Game' jalin perpaduan pelbagai kaum
The Lepak Game yang dilancarkan pada November tahun lalu boleh dibeli pada harga RM99.
 

PETALING JAYA: Bagi memeriahkan lagi sambutan Hari Malaysia, satu permainan kad diperkenalkan dengan tujuan meraikan semangat kekitaan dalam kalangan rakyat daripada pelbagai latar belakang.

Permainan yang diberi nama The Lepak Game ini unik kerana mengunakan bahasa slanga dan jenaka yang hanya difahami orang Malaysia.

Permainan ini mempunyai 600 kad dalam pelbagai bahasa. Selain bahasa Melayu, permainan ini juga menggunakan perkataan daripada bahasa Cina dan India yang sering dituturkan oleh rakyat tempatan. Antaranya ialah muka seposen, thangachi, bojio, abang sado dan kantoi.

Menurut pengasas The Lepak Game, Trixie Khor, tumpuan permainan ini ialah untuk mencetuskan perbualan antara pemain.

"Contohnya ada dua jenis kad iaitu satu kad kuning dan satu lagi kad biru. Kad kuning adalah kata adjektif seperti stylo dan kita ada kad biru seperti Abang Sado dan Thanggaci. Kad kuning adalah soalan dan kad biru pula adalah jawapannya," jelas Trixie.

Untuk bermain permainan ini, perlu ada seorang bos yang berperanan seperti hakim. Bos akan mengambil kad kuning dan pemain akan memilih kad biru yang sesuai dengan kad kuning.

"Selepas itu, bos akan memilih kad yang terbaik dan memenangi permainan itu," katanya ketika ditemui di Kafe The Morning After, di sini, hari ini.

Menurut usahawan Dev Prasad, permainan ini memerlukan antara empat hingga lapan pemain dan ia kini semakin menarik minat orang ramai.

"Hari ini kali pertama saya main dengan orang yang tidak pernah saya jumpa, namun sangat meriah dan mesra.

"Kami enam orang yang bermain permainan nampak sangat akrab dan bersatu sebagai warga Malaysia," kata Dev.

Bagi pelajar Universiti Malaya, Nurul Aznah Jamain, permainan ini turut memberi peluang khususnya kepada golongan muda untuk berkomunikasi sesama sendiri.

"Kad itu bukan sahaja mempunyai Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, tetapi terdapat juga Bahasa Cina dan Bahasa India.

"Selain itu, kita semua bangsa boleh bermain dan rapatkan lagi hubungan di mana ia boleh buat kita lupa bermain telefon, berhenti bermain permainan Pokemon," kata Nurul Aznah.

The Lepak Game yang dilancarkan pada November tahun lalu boleh dibeli pada harga RM99.

Tiada ulasan: