HALAMAN SANTAI

Isnin, 19 September 2016

Umno pun ‘tak puas hati’ persempadanan semula kawasan, kata Noh

 
Katanya, ini kerana ia dijangka mengurangkan jumlah pengundi Melayu di beberapa kawasan dulunya majoriti pengundi Melayu yang tinggi di Selangor.


noh-omar


PUTRAJAYA: Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor Tan Sri Noh Omar menyelar sikap pembangkang kerana tidak memahami proses persempadanan semula kawasan pilihan raya, selain asyik menyalahkan kerajaan berhubung perkara itu.

Beliau berkata usul persempadanan semula dikemukakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu turut menyebabkan Umno tidak berpuas hati kerana ia dijangka mengurangkan jumlah pengundi Melayu di beberapa kawasan dulunya mempunyai majoriti pengundi Melayu yang tinggi di Selangor.

“Contohnya di Ampang, kalau dulu, satu kerusi Parlimen dan 2 Dewan Undangan Negeri (Lembah Jaya dan Bukit Antarabangsa), ketiga-tiga Umno bertanding.

“Tapi dengan persempadanan baharu ini, saya rasa Umno mungkin tidak dapat 3 kerusi itu di Ampang,” katanya ketika diminta mengulas mengenai hasrat pembangkang mengadakan pilihan raya di Selangor berikutan usul persempadanan itu.

Noh, yang juga menteri kesejahteraan bandar, perumahan dan kerajaan tempatan, berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Watikah Kepada Presiden Tribunal baharu Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah (TTPR) dan Tribunal Pengurusan Strata (TPS) di kementeriannya di sini, hari ini.

Setiausaha SPR Datuk Abdul Ghani Salleh sebelum ini, memaklumkan kajian semula itu dilaksanakan mengikut peruntukan Fasal (2) Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan dan pindaan kepada Fasal (2) Perkara 14 Perlembagaan Negeri Sabah yang diwartakan pada 18 Ogos lepas.

Mengikut persempadanan semula itu, SPR turut mencadangkan penambahan 1 kerusi baharu Damansara, yang meliputi kerusi Petaling Jaya Utara sebelum ini, dengan bilangan pengundi melebihi 150,000 orang.

Penasihat DAP Lim Kit Siang dilaporkan mendesak supaya Selangor mengadakan pilihan raya mengejut ekoran cadangan persempadanan semula, yang didakwa sengaja ‘mengubah’ peta negeri itu.

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor semalam, dilaporkan berkata Umno akan meneliti usul persempadanan itu dan akan dibincangkan pada mesyuarat Majlis Tertinggi Umno pada 30 September ini.

Tiada ulasan: