HALAMAN SANTAI

Rabu, 12 Oktober 2016

Anwar kata soal bertanding PRU14, jadi PM tak penting - Wan Azizah

Oleh Wan Anis Ilyani Wan M Azhar
Post Pic
 
 
PUTRAJAYA: Soal bertanding atau tidak pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang bukan menjadi keutamaan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
 
Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail juga mendakwa suaminya tidak memandang akan jawatan Perdana Menteri sekiranya pembangkang menang pada pilihan raya tersebut.
 
"Beliau (Anwar) kata tidak, tidak penting bertanding atau tidak. Yang penting kita tukar kerajaan yang bobrok, mencengkam dan menindas kita, hingga tiada keadilan dalam negara kita. 
 
"Tak penting Anwar bertanding atau tidak, tidak penting Anwar menjadi PM atau tidak, jawatan atau apa-apa habuan. Yang penting negara dan perjuangan kita, teruskan," katanya kepada penyokong Anwar selepas Mahkamah Persekutuan menangguhkan semakan semakan kes liwat itu, petang tadi.
 
Ujar Wan Azizah, soalan itu diajukan oleh pemberita kepada Anwar ketika di mahkamah, hari ini.
 
Terdahulu, Mahkamah Persekutuan hari ini menangguhkan pada satu tarikh lain keputusan semakan Anwar terhadap sabitan dan hukuman penjara lima tahun kerana meliwat Mohd. Saiful Bukhari Azlan, lapan tahun lalu.
 
Panel lima hakim diketuai oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin menangguhkan keputusan itu selepas mendengar penghujahan kedua-dua pihak pembelaan dan pendakwaan.
 
Beliau bersidang bersama Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum, Tan Sri Hasan Lah,  Tan Sri Abu Samah Nordin dan Tan Sri Zaharah Ibrahim.
 
Barisan pendakwaan diketuai oleh Ketua Unit Perbicaraan dan Rayuan, Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid manakala Datuk Seri Gopal Sri Ram mengetuai barisan pembelaan.
 
Mahkamah tertinggi negara mendengar permohonan semakan Anwar dalam usaha terakhirnya untuk mengetepikan keputusan panel terdahulu yang mengekalkan sabitan dan hukuman penjara lima tahun kerana meliwat bekas pembantu peribadinya.
 
Pada 10 Februari tahun lalu, Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria menolak rayuan Anwar agar dia dibebaskan daripada sabitan dan hukuman penjara kerana meliwat Mohd Saiful, 31, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No. 99, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di ibu negara antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.
 
Pada 9 Januari 2012, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas dan membebaskannya daripada pertuduhan tersebut manakala Mahkamah Rayuan mensabitkannya dan menjatuhkan hukuman penjara lima tahun pada 7 Mac 2014.
 
 

Tiada ulasan: