HALAMAN SANTAI

Ahad, 23 Oktober 2016

Fomca cadang had 2kg beli minyak masak

Oleh Haizal Yatiran
Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) mencadangkan kerajaan menghadkan pembelian minyak masak sebanyak 2kg kepada setiap pembeli.
 
Timbalan presidennya, Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, cadangan tersebut bagi mengurangkan ketirisan yang berlaku dalam pengagihan subsidi terhadap minyak masak tempatan.
 
Ujarnya lagi, subsidi minyak masak yang diberikan kerajaan dapat diteruskan sekiranya ketirisan yang berlaku dalam isu minyak masak dapat dibendung.
 
"Sebenarnya subsidi minyak masak yang diberikan oleh kerajaan adalah untuk pengguna domestik. Bukannya untuk dibeli oleh peniaga termasuk penjual pisang goreng sekalipun.
 
"Itulah, banyak berlaku ketirisan termasuk dijual ke Thailand. Ketirisan ini yang membelenggu.
 
"Saya setuju untuk isu sekarang berkenaan minyak masak sebenarnya kerajaan mahu menghadkan. Bagi saya, salah satu caranya wujudkan sistem kuota. Kalau nak beli, mungkin hadkan kepada dua kilogram.
 
"Kemudian, bagi peniaga-peniaga kalau mereka hendak membeli, mereka boleh dapatkan dari pemborong. Untuk pengguna biasa, dia boleh beli di kedai runcit tetapi dengan had yang tertentu," katanya kepada Antarapos.
 
Minggu lalu, berita mengenai kenaikan harga minyak masak ekoran penarikan balik subsidi bagi barang keperluan tersebut menjadi tumpuan utama rakyat.
 
Bagaimanapun, Menteri Kewangan II, Datuk Johari Abdul Ghani kemudiannya mengumumkan bahawa subsidi tersebut akan diteruskan.
 
Menteri itu seterusnya berkata langkah bagi mengatasi ketirisan subsidi minyak masak perlu diberi perhatian oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).
 
Mengulas bersabit hal itu, Fomca turut menyatakan pandangan yang sama bagi membendung ketirisan yang lebih besar seperti isu-isu yang melibatkan penyeludupan.
 
"Untuk isu-isu seperti penyeludupan, itu memerlukan tindakan yang lebih tegas daripada pihak penguatkuasaanlah," kata Yusof. 
 
 

Tiada ulasan: