HALAMAN SANTAI

Selasa, 11 Oktober 2016

Jamal di luar negara, polis sedia maklum - peguam

Shakira Buang 


Penasihat Undang-undang kepada Datuk Seri Jamal Md Yunos mengesahkan pihak polis kini sedang menunggu kepulangan Ketua Gerakan Baju Merah itu dari luar negara untuk direkod kenyataannya.

Bagaimanapun, peguam Mohd Imran Tamrin berkata tindakan itu hanyalah untuk membantu siasatan dan polis sedia maklum keberadaan Jamal.

"Polis ingin rekod kenyataan Jamal untuk membantu siasatan saja dan sekarang beliau ada urusan dan tugas yang lain. Jadi, kita telah maklumkan kepada polis dan polis faham serta kita akan beri kerjasama sepenuhnya," kata Imran kepada pemberita.

Imran berkata demikian mengulas kenyataan Ketua Polis Selangor, Datuk Datuk Abdul Samah Mat yang dilaporkan sedang melakukan siasatan terhadap Jamal ekoran kekecohan ketika konvoi BERSIH 5 di Sabak Bernam Sabtu lalu.

Sementara itu, mengulas surat saman Pengerusi Bersih 5, Maria Chin Abdullah beliau berkata sehingga hari ini pihaknya belum menerima saman tersebut.

"Sehingga hari ini kami belum menerima surat saman dari Maria Chin," kata Mohd Imran.

Sementara itu, Jamal dalam pesanan ringkas kepada Malaysiakini memaklumkan akan pulang ke ibu negara esok.

"Esok (saya akan balik Malaysia), saya ada urusan perniagaan (di luar negara)," kata Jamal kepada Malaysiakini.

Terdahulu Imran mewakili Jamal melancarkan Skuad Barisan Peguam Gerakan Baju Merah Volt 2 di Kuala Lumpur.

Skuad yang bakal dibarisi 21 peguam dari pelbagai firma guaman itu akan bertindak sebagai penasihat undang-undang kepada peserta himpunan Baju Merah.

Malah menurut Imran khidmat guaman itu juga disediakan secara percuma.

Tiada ulasan: