HALAMAN SANTAI

Sabtu, 22 Oktober 2016

Jamal: Kalau jumpa Mahathir saya ludah tangan dia

Zikri Kamarulzaman


Pemimpin gerakan Baju Merah Datuk Seri Jamal Md Yunos berkata beliau kesal kerana pernah bersalaman dan mencium tangan Tun Dr Mahathir Mohamad satu ketika dahulu.

Menurut Jamal, dia akan meludah tangan Mahathir sekiranya bertemu dengan bekas perdana menteri itu sekarang.

"Inilah seorang pemimpin yang kita hormati selama 22 tahun menjadi PM yang dahulu saya pernah jumpa dengan beliau, cium tangan beliau, tapi kali ni kalau saya jumpa beliau, saya ludah tangan dia.

"Saya menyesal cium tangan dia dahulu," kata Jamal kepada penyokongnya di perhimpunan anti-BERSIH di Kapar, Selangor hari ini.

Jamal berkata tingkah laku Mahathir adalah tidak wajar bagi seorang negarawan yang sudah berusia.
Mahathir sebelum ini menyatakan perang terbuka kepada Datuk Seri Najib Razak dan mendakwa perdana menteri itu mengamalkan rasuah.

Bekas perdana menteri itu mengumumkan keluar Umno untuk membantah kepimpinan Najib dan membentuk parti baru yang dikenali sebagai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Merujuk logo bunga raya BERSATU sebagai 'bunga tahi ayam', Jamal turut menafikan peranan mereka dalam pembangkang dan sokongan parti itu terhadap perhimpunan BERSIH yang akan datang.

Sambil menegaskan bahawa beliau bukan rasis, Jamal menyatakan himpunan BERSIH 5 sekali lagi akan disertai oleh 'Cina DAP' yang 'biadap dan sombong'.

Beliau merujuk kepada insiden ketika BERSIH 4, di mana peserta perhimpunan memijak gambar Najib dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Sementara itu ahli Majlis Syura Pertubuhan Jati Malaysia Norman Toha menggesa kaum Cina dan India menyertai Baju Merah dalam menentang BERSIH.

Perhimpunan BERSIH 5 dijadualkan akan diadakan pada 19 November dan bertujuan mendesak peletakan Najib dan tuntutan pilihan raya yang bersih dan adil.

Tiada ulasan: