HALAMAN SANTAI

Khamis, 20 Oktober 2016

Jamal tidak puas hati ditahan polis, tetapi reda

Jamal tidak puas hati ditahan polis, tetapi reda

 
Jamal menjadikan penahanan itu sebagai iltizam untuk menyemarakkan semangatnya dan NGO dipimpinnya serta mengisytiharkan perang habis-habisan terhadap Bersih.

 
jamal-ditahan-1


PETALING JAYA: Datuk Jamal Yunos tidak berpuas hati dengan tindakan polis menahannya semalaman dan menyifatkan ia satu bentuk penganiayaan terhadapnya.

“Sepatutnya, polis menjalankan siasatan terlebih dahulu sebelum membuat penangkapan kerana ini di bawah Akta Komunikasi. Jadi, kalau tangkap saya pun, tidak mendatangkan apa-apa faedah, selain menyusahkan diri saya, keluarga dan kawan-kawan.

“Sepatutnya, perkara ini boleh disiasat dan setelah terbukti, jikalah perkara tersebut benar saya melakukannya, saya tidak ada masalah untuk menanggung risiko apa yang berlaku.

“Tetapi, apa yg berlaku saya ditangkap dahulu, direman dahulu, diambil kenyataan dan kemudian disiasat. Ini bagi saya adalah satu penganiayaan,” katanya di luar Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, hari ini.

Ketua gerakan Baju Merah itu ditahan polis Bukit Aman di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kira-kira 8.30 pagi Rabu, setibanya dari Dubai, sebelum dibawa ke IPD Dang Wangi.

Jamal sepatutnya direman selama 2 hari, bagaimanapun dibebaskan sekitar 5 petang tadi dan dia kemudiannya mengimamkan solat Asar di surau IPD Dang Wangi.

Ketua Umno Bahagian Sungai Besar itu disiasat di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan, Seksyen 500 dan 503 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), kerana disyaki memuat naik kenyataan berbaur hasutan ke Facebook dan serangan penyokong Baju Merah ke atas Bersih 5 di Sabak Bernam, baru-baru ini.

Catatan bertarikh 21 September lalu itu berbunyi: “Saya berjanji tragedi 13 Mei akan berulang dan parang terbang akan terjadi jika Bersih 5 dibuat pada masa, tarikh dan tempat yang sama dengan perhimpunan #Bersih5 yang dijadualkan pada 19 Nov ini. Hidup Melayu!”

Susulan itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengarahkan tindakan tegas dan segera, kerana “kenyataan menghasut sebegini tidak boleh diterima”.

Jamal bagaimanapun menafikan akaun Facebook itu miliknya dan mendakwa DAP sebagai dalang yang membuka akaun palsu menggunakan namanya.

Hari ini, Jamal sekali lagi menafikan pernah memuat naik kenyataan parang terbang dan rusuhan kaum 13 Mei 1969 bakal berulang ke Facebooknya, jika perhimpunan Bersih 5 diteruskan seperti jadual.

“Saya nafikan dan kenyataan ini bukan datang dari saya atau jari jemari saya,” katanya yang percaya akaun palsu itu dibuat kumpulan yang ada kaitan dengan Bersih dalam usaha menjatuhkan reputasinya sebagai pemimpin politik dan badan bukan kerajaan (NGO).

Bagaimanapun, katanya, dia reda dengan apa yang berlaku dan menjadikan penahanan itu sebagai iltizam untuk menyemarakkan semangatnya dan NGO dipimpinnya.

“Kami bersetuju untuk mengisytiharkan perang secara habis-habisan dengan kumpulan Bersih,” katanya yang tidak puas hati dengan Bersih melanggar peraturan dan mengadakan perhimpunan tanpa permit, tetapi tidak dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa.

Jamal turut mengulangi gerakan Baju Merah tiada kaitan dengan Umno.

“Gerakan Merah ini tidak ada kena-mengena dengan Umno langsung pun. Kami berada di sini di bawah kesatuan solidariti NGO.

“Saya bersetuju dengan kenyataan Tan Sri Noh (Omar), bukan Umno yang menganjurkan walaupun saya ketua Umno Bahagian Sungai Besar, tetapi saya di bawah tiket, di bawah baju gabungan NGO.”

Tiada ulasan: