HALAMAN SANTAI

Rabu, 19 Oktober 2016

Karbala: Benarkah Husain dibunuh Yazid?


 
Oleh Dr Mohd Asri Zainul Abidin 


Sesuatu riwayat atau kisah atau matan yang hendak dianggap benar untuk dikaitkan dengan Islam mesti dinilai secara kritis sejauh manakah kesahihan maklumat tersebut.Ini mesti dilihat kepada sumber maklumat; sama ada ia berasal daripada al-Quran dan al-Sunnah atau tidak?

Sementara jika riwayat itu bersumberkan hadis atau athar; hendaklah dipastikan ia riwayat yang diterima di sisi ilmu periwayatan.

Setelah proses ini dilepasi, dinilai pula sejauh manakah kemunasabahan sesuatu teks atau riwayat itu.
Adakah ia bertentangan dengan al-Quran, atau realiti yang nyata, atau fakta sejarah yang tidak mungkin dipertikaikan, atau akal yang disepakati?

Jika ini berlaku dan tiada jalan keluar untuk menyerasikannya, maka riwayat itu ditolak.

Contohnya cerita bahawa Bahtera Nabi Nuh AS tawaf kaabah dan bersolat di makam Ibrahim dua rakaat. Ini semua adalah dusta. Tidak masuk akal.

Nabi Nuh AS wujud sebelum Ibrahim AS, sementara kaabah dibina oleh Nabi Ibrahim dan makam Ibrahim mengambil sempena nama Nabi Ibrahim AS.

Di mana Kaabah dan makamnya ketika itu untuk bahtera Nuh bertawaf?

Dengan itu para ulama hadis menolak cerita ini. Ini termasuk tampil menempelak riwayat tersebut al-Imam al-Syafi’i RH (al-Jurjani, al-Kamil fi Du’afa al-Rijal, 4/270, Beirut: Dar al-Fikr).
 Malang sekali, masih ada penceramah agama yang mendendangkan kisah karut ini.

Pembunuhan Husain

Beberapa e-mel yang saya terima mengadu mengenai sebuah tulisan dalam akhbar yang menyatakan tentang sunat membuat bubur pada sepuluh Muharram kerana mengenangkan peristiwa pembunuhan Saidina Husain bin ‘Ali RA.

Ada yang bimbang masuknya unsur Syiah ke dalam masyarakat yang tidak diajar menilai sesuatu dengan kritis.ya kata; kita tidak bimbang asal-usul sesuatu unsur pemikiran tau kefahaman dari mana datangnya.
Selagi ia benar atau bertepatan dengan fakta, datanglah dari mana sahaja, sekalipun dari Yahudi. Kebenaran tidak memilih bulu.

Apa yang dibimbangi adalah unsur tersebut terpinggir jauh dari kebenaran. Soal kelebihan amalan atau fadhilat adalah ditentukan oleh Allah dan Rasul-Nya.

Dalam riwayat sahih yang manakah yang menyebut kelebihan membuat bubur hitam atau merah atau apa warna sahaja pada Hari Ashura?

Apa yang pasti ia tidak pernah ada riwayat sahih yang menyuruh hal itu.

Apatah lagi peristiwa pembunuhan Husain bin ‘Ali berlaku pada tahun 61H, di zaman pemerintahan Yazid bin Mu’awiyah. (lihat: Ibn Kathir, al-Bidayah wa al-Nihayah, 6/258, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).

Tiada ulasan: