HALAMAN SANTAI

Rabu, 19 Oktober 2016

Kasari wartawan, Armand mohon maaf bagi pihak Jamal

Alyaa Azhar 


Exco Pemuda Umno Datuk Armand Azha Abu Hanifah memohon maaf - bagi pihak Datuk Seri Jamal Md Yunos - ekoran keganasan dan kekasaran terhadap wartawan minggu lalu.

Kata Armand Azha kejadian itu tidak dirancang dan berlaku secara spontan.

"Saya mewakili Jamal ingin memohon maaf kepada wartawan-wartawan yang mengadu diserang oleh gerombolan yang berlaku di Kuala Selangor Sabtu lalu," katanya kepada media di Kuala Lumpur hari ini.

Jamal adalah pemimpin kumpulan baju merah dan sebahagian daripada mereka didakwa melakukan kekasaran terhadap sekurang-kurangnya dua petugas media yang membuat liputan konvoi BERSIH di Kuala Selangor pada 15 Oktober lalu.

Seorang daripada mangsa itu ialah kakitangan Malaysiakini sendiri, manakala seorang lagi petugas The Star.

Petugas Malaysiakini berkata dia ditumbuk, diancam dan dicaci sebagai "Cina babi" ketika bertugas mengambil gambar di tempat kejadian.

Tidak seperti Armand Azha, Jamal tiada di tempat kejadian kerana berada di luar negara.

Sebelum ini Malaysiakini melaporkan Jamal mendakwa kekecohan itu suatu kebetulan.

Ketua Umno Sungai Besar itu sepatutnya berkunjung ke pejabat The Star petang ini untuk meminta maaf tetapi dibatalkan apabila dia ditahan polis di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) sekembalinya dari luar negara pagi tadi.

Jamal kini diletakkan di bawah tahanan reman selama dua hari bagi membantu siastatan polis berhubung satu status mengenai BERSIH 5, insiden 13 Mei dan "parang terbang" pada satu status di Facebook.

Jamal menafikan beliau memuat naik status berkenaan sebaliknya mendakwa ia dipalsukan.

Ditanya sama ada mereka akan membuat kunjungan ke pejabat The Star bagi pihak Jamal, Armand Azha berkata dia akan terus berada di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi sebagai tanda kebersamaan dengan Jamal.

Kata Armand Azha ia adalah tangggungawabnya sebagai salah seorang pembantu Jamal.

"Mungkin (apabila) Jamal keluar nanti, kita akan terus ke pejabat The Star untuk bertemu dengan rakan-rakan media The Star.

"Jangan risau, kita akan ke sana untuk bertemu dengan editor dan warga kerja The Star untuk bersuai kenal dan menyelesaikan masalah yang berlaku," katanya.

Setakat ini polis sudah menahan tiga individu bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Tiada ulasan: